Ketua Umno Kuala Nerus Apli Yusof dilantik sebagai pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang baharu berkuat kuasa 18 Julai lalu selama dua tahun.

Dia menggantikan Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan yang tamat kontrak bulan lalu.

PTPTN dalam kenyataan media hari ini berkata, Apli berkelulusan ijazah kepujian kejuruteraan bahan dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1994.

Menurut PTPTN, Apli kini merupakan ahli lembaga pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), ahli lembaga pengarah SME Corporation Malaysia dan ahli lembaga pengarah Mara Incorporated Sdn Bhd.

Wan Saiful Wan Jan

"Dia juga merupakan presiden Squash Racket Association of Terengganu, naib presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu dan ahli majlis kerja tertinggi Gagasan Kebangsaan.

"Sebelum ini dia pernah menyandang beberapa tanggungjawab antaranya pernah memegang jawatan sebagai pengerusi Tati Production Sdn Bhd dan ahli lembaga pengarah PTB Securities Sdn Bhd," kata kenyataan itu.

PTPTN berkata dengan pengalamannya diharap dapat membantu PTPTN menjadi sebuah agensi kerajaan yang disegani sekali gus merealisasikan usaha PTPTN sebagai peneraju tabung pendidikan utama negara.

"Tahniah diucapkan kepada Apli Yusoff di atas pelantikan tersebut. PTPTN turut mengucapkan terima kasih kepada Wan Saiful atas sumbangan dan baktinya sebagai pengerusi PTPTN sejak 18 Jun 2018," kata PTPTN.