Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis panggil peserta himpunan turun harga barang
Diterbitkan:  Jul 23, 2022 9:15 PM
Dikemaskini: 2:49 PM

Pihak polis telah mengenalpasti 30 daripada kira-kira 100 individu yang terlibat dalam himpunan menuntut penurunan harga barangan di Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Pada 23 Julai, jam lebih kurang 2 petang hingga 3 petang, terkesan satu perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang diadakan di hadapan kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

“Hasil daripada pemerhatian yang dibuat didapati seramai lebih kurang 100 orang terdiri daripada mahasiswa, ahli politik, beberapa individu yang dikenalpasti dan belum dikenalpasti telah berhimpun mengadakan himpunan #Turun sambil memegang plakad dan banner bertulis ‘potong gaji menteri’, ‘turun & lawan’ dan lain-lain lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, sekitar 100 peserta himpunan aman berarak ke Dataran Merdeka, di mana kumpulan yang menggelarkan dirinya sebagai Gerakan Turun, berkumpul di luar kompleks beli-belah Sogo hari ini menuntut kerajaan bertindak untuk menangani kenaikan harga barang.

Aktivis pelajar, ahli politik belia, dan sekurang-kurangnya seorang wakil rakyat, Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid bergilir-gilir menyampaikan ucapan kepada penyokong mereka.

“Setakat ini, seramai 30 individu telah dikenalpasti dan semua individu yang terlibat dalam himpunan tersebut akan dipanggil ke ibu pejabat polis daerah Dang Wangi untuk diambil keterangan bagi siasatan yang dijalankan dalam masa terdekat.

“Pihak polis menasihati agar orang ramai tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang melanggari undang-undang dan tindakan tegas akan diambil di bawah peruntukan undang-undang yang masih berkuatkuasa,” kata Noor Dellhan.

Sementara itu, setiausaha politik kepada timbalan pengerusi kebangsaan DAP Gobind Singh Deo, Mandeep Singh, mengesahkan dia salah seorang individu yang dihubungi pihak polis Dang Wangi untuk disiasat.

Dia berkata individu lain dalam senarai yang dipanggil polis termasuk Adun Ketari dari DAP, Young Syefura Othman; Ketua Pemuda PKR, Adam Adli Abdul Halim, bekas Setiausaha Agung Muda, Amir Abdul Hadi; Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy, serta pengasas bersama Undi18 Nur Qyira Yusri dan Tharma Pillai.

"Kami akan berbincang dengan peguam kami untuk langkah seterusnya," kata Mandeep.

Lihat Komen
ADS