Kerajaan Kelantan disaran memberi penjelasan bagaimana anak syarikatnya iaitu Kompleks Perkayuan Kelantan Sdn Bhd (KPK) mahu membayar harga kontrak kayu balak kepada AS Timber Trading bernilai lebih RM5 juta.

Pengerusi Save Kelantan Husam Musa berkata ia susulan KPK diperintahkan membayar pampasan kontrak kepada kontraktor pembalakan itu.

Menurutnya, Mahkamah Persekutuan yang bersidang pada 7 Julai lalu menolak permohonan semakan kehakiman yang dibuat KPK dan mengekalkan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelumnya yang bersidang pada awal tahu ini.

"Ini bermakna, keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 31 Disember 2017 yang memerintahkan KPK membayar harga kontrak kayu balak sejumlah lebih RM5 juta kepada AS Timber Trading dikekalkan.

"Beserta bayaran kadar faedah sebanyak lima peratus setahun dikira bermula dari tarikh penghakiman sehingga tarikh penyelesaian penuh," katanya dalam kenyataan, hari ini

Untuk rekod, KPK pada 1 Julai 2018 diarahkan supaya membayar lebih RM5 juta kepada syarikat pembalak AS Timber Trading dalam tempoh 48 jam.

Bagaimanapun KPK kemudiannya membuat semakan kehakiman di atas keputusan yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kota Bharu itu.

Sehubungan itu, Husam yang juga ketua Amanah Kawasan Kota Bharu berkata kerajaaan Kelantan sebaik-baiknya memberikan penjelasan tentang isu tersebut termasuk bagaimana KPK akan membayar bayaran yang diarahkan.

"Sekiranya KPK gagal membayar bayaran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, dipercayai akaun dan perniagaan syarikat itu boleh disita," katanya.