Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib ikrarkan aset RM4.49 juta pada mahkamah
Diterbitkan:  Aug 2, 2022 1:58 PM
Dikemaskini: 6:36 AM

Najib Razak membuat pemfailan di mahkamah bahawa dia mempunyai aset bernilai RM4.49 juta setakat 30 Jun.

Bekas perdana menteri dan bekas menteri kewangan itu mendedahkannya susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sebagai sebahagian daripada perintah injunksi mareva terhadapnya.

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Najib Muhammad Farhan Muhammad Shafee mengesahkan pemfailan itu dibuat pada 20 Julai.

Berdasarkan surat perakuan eksibit, Najib mengikrarkan aset, antaranya seperti berikut:

Tanah dan bangunan: RM460,987
Kenderaan bermotor: RM252,000
Akaun bank: RM1,248,938
Amanah Saham Nasional Berhad: RM2,528,849

Bafi hartanah, Najib mengikrarkan dia mempunyai tanah di Kuantan, Pekan, Bentong serta bangunan di Semenyih dan Awana Condo, Genting Highland yang dianggarkan bernilai antara RM30 hingga RM150,000.

Najib juga mempunyai lima buah kereta Mercedez Benz yang diperoleh sebagai hadiah, selain motosikal Kawasaki ZG. 

Hanya motosikal Honda EX5 yang dianggarkan bernilai RM2,000 dan sebuah Mercedez Benz diperoleh sendiri. 

Kesemuanya menggunakan nombor pendaftaran 11, selain sebuah kereta dengan nombor pendaftaran 1 dan motosikal Kawasaki ZG dengan nombor 1100.

SRC International Sdn Bhd dan sebuah anak syarikatnya pada 24 Mac memperoleh perintah injunksi mareva untuk menghalang Najib daripada memindahkan atau melupuskan aset bernilai sehingga RM42 juta.

Mahkamah juga mengarahkan Najib mendedahkan kepada peguam SRC (plaintif) secara bertulis asetnya dalam atau luar Malaysia dalam tempoh 30 hari selepas perintah itu diserahkan.

Bekas perdana menteri hanya dibenar mengeluarkan dan membelanjakan wang daripada sebuah akaun bank atau sumber lain tidak melebihi RM100,000 sebulan untuk perbelanjaan sara hidup dan guaman.

ADS