Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bersatu pecat ketua penerangan sayap bersekutu kerana muflis

Ketua Penerangan sayap bersekutu Bersatu kebangsaan S Gobi Krishnan hari ini dipecat daripada jawatannya selepas diisytihar muflis oleh Jabatan Insolvensi Malaysia.

Ketua sayap tersebut, Dr Chong Fat Full, mengesahkan perkara tersebut dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Perikatan Nasional (PN) di Kuala Lumpur, sebentar tadi.

"Saya mengesahkan bahawa Gobi Krishnan dipecat sebagai Ketua Penerangan Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia, dan daripada semua jawatan yang disandangnya dalam parti dengan serta-merta.

"Keputusan pemecatan ini diambil adalah kerana dia disahkan bankrap oleh Jabatan Insolvensi Malaysia," katanya.

Tambah Chong pihaknya dapat mengesahkan kesahihan status Gobi Krishnan, 46, melalui carian di Jabatan Insolvensi Malaysia hari ini.

Hasil semakan tersebut, katanya, didapati Gobi Krishnan diisytiharkan muflis pada 7 Jan tahun lalu lagi.

Untuk rekod, semalam Timbalan Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan D Pala Kumaran menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelaskan dakwaan ada individu muflis dilantuk menjadi ahli Lembaga Pelesenan (Eksais) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Selain itu dia juga mendakwa individu terbabit memegang jawatan ketua bahagian sayap bersekutu Bersatu.

Malaysiakini sudah menghubungi Gobi Krishnan untuk mendapatkan komen.

Sementara, Chong berkata bahawa Gobi Krishnan merupakan seorang ahli yang berdedikasi dan vokal menyuarakan isu-isu semasa masyarakat dan parti.

Justeru, katanya, Bersatu sebenarnya sangat keberatan melepaskan Gobi Krishnan namun keadaan semasa tidak menyebelahi individu terbabit.

Lihat Komen
ADS