Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP gesa pinda Perlembagaan agar wanita boleh beri kerakyatan pada anak
Diterbitkan:  Aug 5, 2022 9:09 PM
Dikemaskini: 1:09 PM

DAP mencadangkan agar Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membentangkan usul meminda Perlembagaan Persekutuan, bagi memberikan wanita hak yang sama seperti lelaki berhubung mewariskan kerakyatan kepada anak mereka.

Ia selepas Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa wanita warga Malaysia mempunyai hak yang sama seperti lelaki warga Malaysia untuk memberikan kerakyatan melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata tidak adil untuk menafikan hak tersebut kepada golongan wanita. Ini melanggar prinsip kesamarataan gender yang termaktub dalam undang-undang antarabangsa dan Perlembagaan Persekutuan.

"Seolah-olah hak seseorang ibu ke atas anak mereka lebih rendah daripada hak seseorang bapa. Ini melanggar prinsip kesamarataan gender yang termaktub dalam undang-undang antarabangsa dan Perlembagaan Persekutuan.

"Tiap-tiap anak dibawa ke dunia ini oleh ibu masing-masing. Ketidakadilan terhadap kaum ibu sedemikian membawa kesan yang negatif sekali untuk institusi kekeluargaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Loke berkata keputusan mahkamah hari ini akan menyukarkan lagi ribuan kanak-kanak yang mana permohonan mereka untuk menjad warga Malaysia sudah lama ditolak.

Katanya, ramai dalam kalangan kanak-kanak itu yang tidak memiliki kerakyatana atau terpaksa menjadi warga negara lain.

"Untuk mengatasi isu ketidakadilan ini, saya syorkan Perlembagaan Persekutuan diperkasakan dengan pindaan yang sewajarnya agar hak yang sama diberi kepada para ibu warga Malaysia," katanya sambil menambah ia akan membela nasib dan hak anak-anak mereka untuk menjadi warga Malaysia.

"Justeru itu, DAP menyeru Ismail Sabri untuk membentangkan RUU Pindaan Perlembagaan Persekutuan dalam sidang Parlimen akan datang untuk memberi keadilan kepada wanita.

"Kesemua 42 ahli parlimen DAP akan menyokong pindaan tersebut. Saya juga yakin rakan-rakan kami dalam PH akan memberikan sokongan yang sama," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS