mk-logo
Berita
Gnanaraja ugut saya dengan kes pengubahan wang haram - Zarul

Saksi utama kes rasuah Lim Guan Eng yang dikaitkan dengan projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion mendakwa bahawa dia diugut dengan pertuduhan pengubahan wang haram dan ini antara sebab mengapa dia membayar 'orang tengah' RM19 juta untuk menyelesaikan kes itu.

Eksekutif kanan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC) Zarul Ahmad Mohd Zulkifli memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bahawa ahli perniagaan G Gnanaraja membuat ugutan itu kepadanya melalui Whatsapp.

Dalam prosiding perbicaraan rasuah terhadap bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim sebelum ini, saksi pendakwaan ke-23 Zarul mendakwa bahawa dia membawa Gnanaraja - yang didakwa rakan rapat bekas perdana menteri Najib Razak - untuk memberi rasuah kepada tertuduh.

Pada 3 April 2019, di hadapan Mahkamah Sesyen Shah Alam, Gnanaraja didakwa memperdaya Zarul untuk membayar RM19 juta kepadanya berhubung projek itu.

Ahli perniagaan berkenaan didakwa menipu Zarul bahawa dia mampu menggunakan hubungan politiknya untuk menutup kes penyiasatan SPRM.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Lim, Gobind Singh Deo pagi ini, Zarul mendakwa ugutan itu adalah antara sebab dia membayar RM19 juta kepada Gnanaraja, dan bukan satu-satunya sebab berkenaan.

Gobind: Kamu sedar bahawa kamu menerima WhatsApp daripada Gnanaraja yang kamu diugut dengan prosiding Amla (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram)?

Zarul: Betul.

Gobind: Adakah kamu ingat (mesej) WhatsApp itu?

Zarul: Nama dan IC (nombor Kad Pengenalan) saya.

Gobind: Dia kata kamu akan didakwa di bawah Amla?

Zarul: Betul.

Gobind: Ada pertuduhan (ugutan) terhadap kamu?

Zarul: Ya.

Gobind: Ini akan memberi kesan kepada syarikat kamu.

Zarul: Betul.

Gobind: Sebab itu kamu buat bayaran (RM19 juta)?

Zarul: Saya tidak bersetuju, itu bukan satu-satunya sebab.

Gobind: Saya beritahu awak itu satu-satunya sebab.

Zarul: Saya tidak setuju.

Prosiding di hadapan hakim perbicaraan Azura Alwi akan bersambung esok kerana perbicaraan berakhir awal hari ini akibat gangguan teknikal dalam sistem audio mahkamah.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan seorang saksi penting dalam perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng mengakui di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini bahawa antara sebab beliau membayar RM19 juta kepada orang tengah bernama G Gnanaraja adalah kerana diugut akan didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) berhubung penglibatannya dalam projek terowong bawah laut Pulau Pinang yang kontroversi.

Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 52, berkata beliau menerima ugutan daripada Gnanaraja melalui mesej Whatsapp, yang mengandungi nama dan nombor pengenalan Zarul.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim, saksi pendakwaan ke-23 itu berkata beliau membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung ugutan itu apabila ditahan oleh suruhanjaya itu selama 11 hari pada Januari 2018.

“Siasatan terhadap Gnanaraja bermula selepas saya dibebaskan daripada tahanan SPRM. Saya disoal oleh badan pencegah rasuah tentang laporan yang saya buat terhadapnya.

“Bagaimanapun, saya tidak ditunjukkan mesej Whatsapp yang dicetak daripada perbualan semasa siasatan. Mereka (SPRM) hanya menunjukkan kepada saya mesej (WhatsApp) terus daripada telefon Gnanaraja,” katanya.

Zarul juga bersetuju dengan cadangan Gobind bahawa CZCSB akan terjejas jika prosiding AMLA terhadapnya diteruskan.

Terdahulu, Gobind dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bertelagah mengenai salinan kenyataan Gnanaraja yang direkodkan oleh SPRM semasa siasatan.

Gobind meminta pihak pendakwaan mengesahkan sama ada mesej WhatsApp antara Zarul dan Gnanaraja telah dikurangkan kepada satu kenyataan dan Wan Shaharuddin menjawab bahawa bukan beban pihak pendakwaan untuk membantu pihak pembelaan dalam perkara tersebut.

Peguam itu seterusnya berkata pihak pendakwaan juga masih belum menjawab permohonan mereka untuk mendapatkan salinan mesej WhatsApp Gnanaraja yang mereka mohon minggu lepas.

Wan Shaharuddin menjawab beliau masih berusaha mendapatkannya daripada pegawai penyiasat lain dan akan mengesahkannya esok.

Lim, 61, didakwa menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.

Lim dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu juga didakwa meminta 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu daripada Zarul Ahmad, sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di Kuala Lumpur pada Mac 2011.

Lim, juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

Lihat Komen
ADS