Hapuskan mesej WhatsApp adalah penindasan bukti - Peguam Lim
Peguam Lim Guan Eng mendakwa terdapat penindasan bukti susulan pemusnahan oleh pihak berkuasa terhadap cetakan mesej WhatsApp antara saksi utama pendakwaan dengan seorang ahli perniagaan.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan dalam perbicaraan rasuah bekas ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, tindakan pemusnahan cetakan mesej itu adalah prosedur standard selepas ia digunakan dalam kes penipuan berasingan terhadap ahli perniagaan, G Gnanaraja.
Peguambela Gobind Singh Deo mendakwa penindasan bukti itu hari ini, apabila timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin menjelaskan kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengenai apa yang berlaku kepada cetakan mesej berkenaan.
Peguam itu sebelum ini memohon dibekalkan cetakan mesej - yang menjadi asas kepada pendakwaan di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap Gnanaraja kerana didakwa menipu Eksekutif kanan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC) Zarul Ahmad Mohd Zulkifli sebanyak RM19 juta - yang didakwa adalah kritikal dalam kes pembelaan bahawa Lim tidak terlibat dalam kes rasuah membabitkan projek tersebut.
“Rakan saya hari ini memaklumkan bahawa (cetakan) WhatsApp telah dimusnahkan. Berkenaan dengan mesej WhatsApp, kamu boleh mencarik (shred) salinan (cetakan fizikal) tetapi kamu tidak boleh mencarik mesej (elektronik),” kata Gobind.
“Kami mengambil pendirian bahawa terdapat penindasan bukti. Mesej ini penting dalam memahami peristiwa yang membawa kepada pembayaran RM19 juta yang didakwa itu, yang berkaitan secara langsung dengan kes ini,” dakwa peguam itu.





