Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
M'sia sertai gesaan tuntut keadilan buat wartawan dibunuh Israel

Rakan sekerja dan penyokong wartawan Palestin-Amerika dari Al Jazeera yang dibunuh Israel di Tebing Barat, Shireen Abu Akleh, berkumpul untuk solidariti menuntut keadilan sambil mengutuk rejim zionis hari ini.

Himpunan anjuran Al Jazeera Biro Kuala Lumpur itu diadakan sempena 100 hari kematian Shireen, yang maut ketika membuat liputan mengenai serbuan tentera Israel di Jenin, Tebing Barat.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah - yang diwakili setiausaha akhbarnya Tan Sian Hoo - berkongsi mesej solidariti kepada Shireen dan menyokong tuntutan agar keadilan diberikan kepada wartawan terbabit.

"Menteri Luar berdiri bersama dengan keluarga Shireen dan sanak saudaranya di Palestin.

“Dia turut bersama-sama dengan semua wartawan dari seluruh dunia yang menjalankan tugas mereka tanpa rasa gentar dan melaporkan perkara yang sebenar kepada pihak yang berkuasa.

"Kami menuntut keadilan untuk Shireen," kata Tan.

Tambahnya, antara perkara yang ditekankan oleh Saifuddin ialah Malaysia tidak akan menormalkan hubungan dengan Israel, sehingga penyelesaian dua negara muncul, dan sehingga negara Palestin direalisasikan.

Kerjaya kewartawanan Shireen mencapai 25 tahun sebelum pemergiannya pada 11 Mei.

Pelajar Palestin, Dina Salleh, pula berkata pengajaran yang diperoleh daripada kehidupan dan kematian Shireen ialah setiap orang yang masih hidup harus meneruskan perjuangan menentang penindas mereka.

“Saya berumur 25 tahun dan Shireen bertugas dalam bidang kewartawanan selama 25 tahun juga, sejak saya dilahirkan.

“Ia sangat bermakna bagi saya kerana dia telah menceritakan kisah sebenar Palestin [...] Selepas 100 hari, kami masih tidak mendapatkan keadilan untuk Shireen,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Batu Tian Chua berkata seorang wartawan sentiasa perlu mengambil risiko atas tugas mereka dalam melaporkan kebenaran.

Tian Chua

Katanya siapa juga yang membunuh Shireen dengan niat untuk menutup kebenaran, mereka tersilap kerana kematian tersebut tidak mampu menutup kekejaman rejim Zionis.

“Mereka silap kerana ribuan lagi wartawan, ribuan lagi saksi akan terus menceritakan penindasan, penderaan, dan semua kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Al Jazeera Kuala Lumpur Samer Allawi menyifatkan Shireen bukan sahaja seorang bekas rakan sekerja yang baik tetapi seorang yang berjuang untuk kebebasan bersuara di Palestin.

“Al Jazeera akan meneruskannya kerana keadilan harus dituntut untuk Shireen.

"Keadilan baginya adalah keadilan bagi setiap wartawan," tegas Samer.

Samer Allawi

Shireen 51, berasal dari Bethlehem, tetapi dibesarkan di Baitulmaqdis.

Dia pada mulanya belajar seni bina di Universiti Sains dan Teknologi Jordan, kemudian bertukar ke bidang kewartawanan dan memperoleh ijazah sarjana muda dari Universiti Yarmouk di Jordan.

Selepas menamatkan pengajian, Shireen kembali ke Palestin dan bekerja di beberapa stesen seperti UNRWA, Radio Suara Palestin, Saluran Satelit Amman, Yayasan Miftah, dan Radio Monte Carlo.

Pada 1997, dia menyertai saluran satelit Al Jazeera.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS