Keputusan kes SRC International Sdn Bhd yang tidak memihak kepada Najib Razak membuktikan tiada campur tangan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam bidang kehakiman, kata MIC.

"Kita semua tahu bekas perdana menteri telah dimasukkan ke penjara. PH (Pakatan Harapan) mendakwa ia merupakan pencapaian mereka.

"Sebenarnya, kes ini bukti PM dan BN tidak campur tangan urusan mahkamah,” kata Presiden MIC SA Vigneswaran delegasi MIC di Konvensyen MIC Wilayah Persekutuan ke-74, 75 dan 76 di Kuala Lumpur, semalam.

Pada 23 Ogos Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib dalam kes rasuah melibatkan SRC International Sdn Bhd melibatkan dana RM42 juta.

Ahli parlimen Pekan dihukum penjara 12 tahun bermula kelmarin dan perlu membayar denda RM210 juta.

Vigneswaran juga berkata kekalahan Najib bukanlah satu pencapaian PH.

"Satu-satunya pencapaian PH adalah menutup kes banglo Lim Guan Eng. Sementara, pencapaian kita adalah memperkuatkan sistem parlimen," katanya.

Lim Guan Eng

Pada Sep 2018, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Lim daripada dua tuduhan rasuah selepas peguam negara menerima hujah balas peguam.

Keputusan itu dibuat ketika PH menjadi kerajaan dan Lim selaku menteri kewangan.

Lim didakwa bersama seorang lagi tertuduh Phang Li Koon di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang George Town, menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Kedua-dua mereka menghadapi tuduhan berkenaan ekoran urusan jual beli sebuah banglo di Jalan Pinhorn, George Town, bawah harga pasaran semasa.

‘Sedih’

Sementara itu, Vigneswaran berkata bahawa MIC sangat sedih dengan keputusan mahkamah dalam kes Najib.

"Keputusan mahkamah amat menyedikan. Saya sendiri tidak setuju dengan proses perbicaraan.

"Tapi, saya menghormati keputusan mahkamah dan undang-undang negara," katanya.