Paling Popular
Terkini

PAS MUKTAMAR | Abdul Hadi Awang hari ini berkata, tidak ada sebab PAS boleh gagal meraih sokongan pengundi bukan Islam berdasarkan kemampuan DAP dalam pilihan raya.

Apa yang perlu dilakukan, katanya, ialah menggerakkan salah satu sayap parti berkenaan, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) untuk masuk mendapatkan sokongan orang bukan Islam.

Menurut presiden PAS itu lagi, DAP mampu meletakkan calon berbangsa India untuk menjadi wakil rakyat di kawasan pengundi majoriti Cina dan ia diterima mereka.

“Jika DAP boleh memilih ahli parlimen India di kawasan majoriti Cina, maka mengapa kita tidak boleh minta orang Cina untuk menyokong kita dalam PRU?

“Kenapa kita tidak boleh menembusi kawasan mereka?” katanya semasa memberikan ucapan penggulungan di akhir muktamar di Kota Sarang Semut, Alor Setar, petang tadi,

Ahli parlimen Marang itu berpendapat, dengan adanya DHPP, PAS memang mampu memenangkan calon mereka di kawasan bukan Islam namun kelemahan yang ada perlu diperbaiki.

Abdul Hadi berkata, penubuhan DHPP juga berjaya memecahkan benteng pertama yang menghalang PAS mendekati pengundi bukan Islam.

DHPP ditubuhkan secara rasmi pada 23 Mei 2010 PAS masih dalam Pakatan Rakyat (Pakatan) yang menyatukan mereka dengan PKR dan DAP.

Untuk rekod kerjasama tersebut membolehkan PAS mendapat sokongan pengundi bukan Islam dan bukan Melayu. Ia juga menyumbang kepada kemenangan Pakatan di Selangor dan Pulau Pinang pada PRU 2013.

Ketua DHPP, N Balasubramaniam, sebelum ini berkata dengan keahlian seramai 62,768, mereka menyasarkan untuk bertanding di tiga kerusi parlimen dan 12 kerusi DUN pada PRU ke-15 ini.

Lihat Komen
ADS