Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Azmin pun warga Shah Alam akan tolak, ini pula anak buahnya Afif’

Warga Shah Alam akan menolak Azmin Ali sekiranya dia bertanding di situ, jadi apatah lagi anak buahnya, Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin yang menyuarakan hasrat untuk bertanding di kerusi tersebut, kata Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.

Pengarah Komunikasi Amanah yang tiga penggal mewakili kerusi parlimen berkenaan berkata ini kerana Afif tidak menunjukkan sebarang sumbangan atau idea untuk menambah baik kawasan itu.

“Tak ada nampak pun apa-apa cadangan yang bernas dikemukakan selama ini… nak kata dia di Shah Alam sedang memperjuangkan ini ke, itu ke, tak ada pun saya nampak, tak ada pun saya dengar nama dia,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mengulas lanjut mengenai hasrat Afif (gambar, bawah) yang dijangkakan akan bertanding sama ada di dua kubu kuat Pakatan Harapan - Permatang Pauh atau Shah Alam, Khalid berkata dia mengalu-alukan jika pemimpin Perikatan Nasional itu mempunyai idea yang baru, yang tidak merosakkan atau merompak duit kerajaan negeri.

“Tidak semua idea baru itu semestinya bagus. (Contohnya) Najib (Razak) bawa banyak idea baru macam 1MDB. Tu idea baru juga tu, SRC (International) pun idea baru juga tu,” sindirnya.

“Dan Azmin yang saya tahu, kalau Dr Afif ni memang dikenali sebagai orang Azmin dan saya tidak fikir kalau letak Azmin kat Shah Alam pun, saya rasa warga Shah Alam akan tolak.

“So apatah lagi anak buah Azmin, yang memang dah tak nampak apa-apa ketokohan pun,” katanya.

Utusan Malaysia baru-baru ini dilaporkan bahawa selain mempertahankan kerusinya di DUN Seberang Jaya, Afif bersedia bertanding di Shah Alam atau Permatang Pauh sebagai calon parlimen pilihan raya umum ke-15.

Gambar fail, Afif dan Azmin.

Timbalan ketua Bahagian Bersatu Shah Alam yang dilahirkan dan dibesarkan di Shah Alam itu mendakwa Khalid tidak mempunyai idea baru dan sepatutnya memberi laluan kepada muka baru.

Menurut Afif, jika diberikan laluan untuk bertanding di situ dia akan menumpukan kepada beberapa penting, termasuk isu sekoalah terpinggir dan kurang prestasi.

Kenyataan itu kemudian dibidas oleh Khalid yang menasihatinya supaya mengkritik kelemahan kerajaan pusat sedia ada memandangkan Bersatu juga sebahagian daripada kerajaan.

‘Tembak diri sendiri’

“Kalau dia nak bawa idea yang baru, kena pastikan dia tak ‘tembak’ diri sendirilah,” kata Khalid.

Bagaimanapun, Khalid berkata keputusan akan terletak di tangan warga Shah Alam, sama ada Afif benar-benar bersungguh untuk memperjuangkan hasratnya itu.

“Bukanlah saya kata saya lebih, tapi dia sendiri tak nampak pun apa-apa penonjolan yang dilakukan.

“Patutnya dia masuklah awal-awal (turun padang) nak adakan pilihan raya ni.

“Mungkin dia nak tambah sekolah, yang sekolah kat Denai Alam (tak ada), Setia Alam tak ada. Banyak kawasan perumahan baru tak ada sekolah,” katanya.

Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada dia akan mempertahankan kerusi parlimen Shah Alam pada PRU15 sekiranya diberikan peluang sekali lagi, Khalid seolah-olah memberi bayangan bahawa dia bersedia membuka laluan kepada muka baru.

“Itu saya kena tengok dulu tapi saya dah tiga penggal dah di Shah Alam dan apa yang kita inginkan adalah supaya Shah Alam ni tugu pertahankan nilai-nilai politik yang baik, posiitf, tak mahu perkauman, tak mahu rasuah, nakkan pentadbiran yang telus.

“Kalau dianggap saya boleh menyumbang ke arah itu dan untuk bertanding di Shah Alam, tengoklah dulu.

“Tapi saya pada masa yang sama, saya melihat memang ramailah golongan muda yang Insya-Allah kalau mereka diturunkan (untuk bertanding jadi calon) saya akan berikan sokongan kepada mereka juga,” katanya.

Lihat Komen
ADS