Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Setelah ditelanjangkan, hari ini kebenaran ditegakkan’

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata dirinya diaibkan, dimalukan dan “ditelanjangkan” atas tuduhan menerima rasuah walaupun sebelum mahkamah membuat keputusan.

Pengerusi BN itu hari ini dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN).

“Saya telah diaibkan, dimalukan, malah ditelanjangkan dengan pelbagai anggapan dan saya telah dihukum terlebih dahulu oleh court of public opinion.

“Tapi Jumaat ini kebenaran perundangan ditegakkan,” katanya pada sidang media di Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas keputusan mahkamah hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Mohd Yazid Mustafa berkata pihak pendakwaan gagal mewujudkan prima facie ke atas bekas timbalan perdana menteri itu.

Ahli parlimen Bagan Datuk itu berdepan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB, selain tujuh lagi mendapatkan SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.

Hadir berpakaian putih, Zahid ketika memberikan sidang medianya turut mengucapkan terima kasih kepada barisan peguam yang diketuai oleh Hisyam Teh Poh Teik.

Hisyam Teh Poh Teik, Peguam

Anak perempuannya Nurul Hidayah, yang turut hadir hari ini dilihat menitiskan air mata kesyukuran selepas keputusan mahkamah.

“Dari hari pertama sehingga keputusan hari ni, saya amat yakin bahawa pelaksanaan perindangan telah diteliti dan diperincikan oleh yang arif hakim.

“Dan tentunya saya merasakan bahwa apa juga yang telah dipertuduhkan kepada saya, saya merasakan biarpun saya harus reda dengan ujian yang telah ditimpakan ke atas saya, namun saya istiqamah dan amat yakin bahawa pertuduhan-pertuduhan itu tak pernah saya lakukan.

“Dan saya amat yakin sebagai pengerusi BN dan presiden Umno, ini kejayaan Umno-BN,” kata Zahid yang turut ditemani oleh ahli keluarganya dan beberapa pemimpin Umno.

Zahid bagaimanapun enggan mengambil sebarang soalan daripada pemberita dan bergegas meninggallan majkamah sambil melambai ke arah penyokong yang hadir di luar mahkamah.

Lihat Komen
ADS