Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perjumpaan Muhyiddin-Hadi kendurkan ketegangan Bersatu-PAS
Diterbitkan:  Sep 27, 2022 10:26 AM
Dikemaskini: 2:26 AM

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari PAS Abdul Hadi Awang malam semalam.

Ini susulan percanggahan pendapat yang ketara di antara kedua-dua parti berhubung ucapan Muhyiddin semasa acara ulang tahun keenam Bersatu pada Sabtu lalu.

Menurut catatan Muhyiddin di Facebook pagi tadi, pertemuan itu berlangsung di rumahnya malam tadi.

"Alhamdulillah. Perbincangan selama dua jam malam tadi yang amat bermakna.

“Banyak perkara dipersetujui untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional dalam menghadapi PRU-15," tulisnya.

Perjumpaan itu berlangsung selang beberapa jam selepas Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengeluarkan kenyataan bahawa parti itu tidak boleh menerima pendirian mana-mana pihak yang melabelkan pertubuhan Melayu dan Islam lain sebagai musuh utama mereka.

Muhyiddin, pada Sabtu lalu menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak apabila mengumumkan bahawa BN adalah musuh utama Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 akan datang.

Katanya, perkara itu dipersetujui oleh semua parti komponen PN iaitu Bersatu, PAS, Gerakan, Star dan SAPP.

Menurut Takiyuddin, kenyataan seumpama itu dilihat “tidak wajar dan janggal” kerana pihak yang dilabelkan sebagai musuh utama tersebut adalah rakan muafakat dalam kerajaan yang dipimpin bersama.

Bersatu dan PAS masing-masing menggunakan pendekatan yang bertentangan - Bersatu yang merupakan parti serpihan mahu menggantikan Umno, PAS pula mahu berkerjasama dengan parti tersebut.

Pada masa sama, Bersatu dan PAS kini berada dalam gabungan yang sama.

Lihat Komen
ADS