Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penyatuan ummah: 'Memang ada halangan tapi masih ada masa'

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin mengakui agenda “penyatuan ummah” yang diusahakan mereka berdepan halangan.

Bagaimanapun, dia percaya perkara itu dapat diselesaikan secara baik kerana waktu untuk berunding masih ada.

“Ia merupakan sedikit halangan, tapi kita masih ada masa untuk kita runding, untuk bincang, cari kata sepakat dalam beberapa isu yang mungkin besar kalau boleh kita selesaikan. 

“Bagi PAS, (kita) bersedia untuk berunding,” kata Hashim ketika diminta mengulas mengenai pendirian berbeza PAS-Bersatu berkaitan musuh utama mereka sama ada BN atau Pakatan Harapan (PH).

Pertemuan pemimpin kanan PAS-Bersatu di rumah Muhyiddin malam tadi

PAS dan Bersatu sebelum ini berbeza pandangan berkaitan musuh utama menjelang pilihan raya umum akan datang. 

PAS melihat Pakatan Harapan (PH) sebagai musuh utama sedangkan Bersatu–rakan gabungan mereka dalam Perikatan Nasional (PN)–meletakkan label itu terhadap BN.

Di tengah-tengah kehangatan itu itu, kedua-dua pemimpin tertinggi PAS dan Bersatu–Abdul Hadi Awang dan Muhyiddin Yassin–bertemu di Kuala Lumpur malam tadi.

Muhyiddin hari ini mengakui agenda perpaduan ummah PAS memang bagus tetapi dari segi realiti Bersatu tidak boleh bekerjasama dengan Umno.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Hashim berkata meskipun terdapat suara-suara sumbang yang menolak agenda itu, PAS akan terus membuka pintu rundingan.

‘Bincang dengan semua, termasuk bukan Islam’

Malah, katanya, mereka terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak, termasuk golongan bukan Islam.

“Kita apabila bercakap tentang ummah, ia tidak khas kepada Umno atau Bersatu saja. 

“Itu mana-mana parti yang bersetuju dengan agenda perpaduan ummah ini, kita boleh berunding. Hatta, yang bukan Islam pun kita boleh berunding. 

“Kita buka untuk perundingan,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas pertemuan Hadi dan Muhyiddin malam tadi, Hashim berkata dia tidak dapat mengulasnya.

“Saya tidak dapat maklumat apa yang dipersetujui. 

“Tapi secara umumnya kita akan berusaha bersungguh-sungguh ke arah agenda utama kita,” katanya.

Lihat Komen
ADS