Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi: Perpaduan ummah tak boleh dengan motif politik terbatas
Diterbitkan:  Oct 1, 2022 11:46 AM
Dikemaskini: 3:46 AM

Perpaduan ummah yang terhad kepada PAS dengan Umno ataupun PAS dengan Bersatu hanya bermotifkan politik terbatas, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi berkata ini kerana perpaduan ummah tidak hanya membabitkan kumpulan Islam tertentu.

Dia berkata parti itu perlu mengambil teladan daripada "Sunnah Nabawiyyah", yang menurutnya bermula dengan perpaduan umat Islam yang memimpin, dengan mengumpulkan semua kumpulan Islam daripada pelbagai jemaah atau parti.

"Adapun kumpulan Islam itu tidak hanya PAS dan Umno sahaja tanpa Bersatu dan lain-lain. Begitulah juga tidak hanya PAS dan Bersatu sahaja tanpa Umno dan lain-lain.

"Kemudiannya, disertai oleh kumpulan bukan Islam yang tidak ekstrem dalam konteks masyarakat majmuk.

"Kalau hanya PAS dan Umno sahaja atau PAS dan Bersatu sahaja, maka tidak memenuhi ciri-ciri perpaduan umat, dan hanya bertujuan politik yang terbatas dan tidak sempurna. Jika tanpa golongan bukan Islam yang tidak ekstrem pula, maka tidak terlaksana mesej Islam yang adil kepada seluruh manusia," katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.

Kenyataan itu dilihat PAS kekal dengan pendiriannya untuk menghadapi PRU15 bersama-sama Umno dan Bersatu.

Ia walapun Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata secara realitinya parti itu tidak boleh bekerjasama dengan Umno.

Umno pula kekal dengan keputusan yang dibuat dalam perhimpunan agungnya pada tahun lalu untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan Bersatu dalam PRU15.

Sebelum ini, Hadi telah mengadakan pertemuan secara berasingan dengan Muhyiddin dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, dan PAS dijangka memuktamadkan keputusan berkenaan perkara itu pada minggu depan.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata agenda perpaduan ummah dibawa PAS itu menyebabkan ada yang keliru sehingga melabelkan parti itu "bermain semua kolam".

"PAS yang berakidah Islam yang bersifat universal, pada masa yang sama turut memperjuangkan kebangsaan Melayu dan Bumiputera. Sikap (PAS) yang menimbulkan persoalan sehingga menimbulkan keraguan terhadap PAS yang membawa agenda perpaduan umat.

"Dikatakan pula PAS memasuki semua kolam, kecuali kolam yang banyak buaya atau binatang berbisa," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS