Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Rundingan ada kemajuan' - Anwar nafi PH tolak Muda

Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata ada kemajuan dalam rundingan dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkenaan permohonan untuk menyertai gabungan itu.

Anwar berkata demikian ketika ditanya berhubung laporan yang memetik sumber mendakwa Majlis Presiden PH telah membuat keputusan untuk menolak permohonan tersebut.

"Tak betul, kita tengah berunding (dan) ada kemajuan," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, Selangor malam tadi.

Akhir bulan lalu, PH bersetuju untuk membentuk jawatankuasa bagi mengadakan rundingan dengan Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Ia berhubung permohonan Muda untuk menyertai PH serta hasrat PSM untuk bekerjasama dengan gabungan itu secara rasmi dalam PRU15.

Jawatankuasa itu dianggotai Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, Setiausaha Organisasi DAP Steven Sim Chee Keong, Ketua Pemuda Amanah Mohd Hasbie Muda dan Naib Presiden Upko Ewon Benedick.

Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil pula berkata keputusan akan dibuat seawal Rabu ini.

"Majlis Presiden akan putuskan...Tunggu kenyataan rasmi seawal Rabu ini," katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata mesyuarat malam tadi diadakan antara lain bagi membincangkan persediaan PKR di setiap negeri bagi menghadapi PRU15, susulan pembubaran Parlimen yang diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Berkenaan calon yang akan diletakkan PKR, dia berkata parti itu berharap ia akan dapat dimuktamadkan secepat mungkin.

"Sekarang fokus bukan saja kerusi yang disandang, tetapi juga beberapa kerusi lain yang menjadi sasaran kita.

"Semestinya kita fokus kepada kerusi pengkhianat dan ini menjadi fokus khusus pimpinan," katanya merujuk kerusi yang disandang bekas pemimpin PKR yang keluar parti ketika Langkah Sheraton lebih dua tahun lalu.

Perkara itu telah disebut Anwar dalam wawancara bersama Malaysiakini akhir bulan lalu, yang antara lain membayangkan pemimpin utama PKR akan diletakkan di kawasan-kawasan tersebut.

Lihat Komen
ADS