Gobind: Charles sudah dimaklumkan 2018 penggal terakhirnya
Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo menegaskan bahawa penyandang parlimen Klang Charles Santiago sudah dimaklumkan bahawa 2018 sebagai penggal terakhir dia bertanding kerusi parlimen itu.
Jelas Gobind, Charles pernah bertemunya dua kali sebelum ini bagi mendapatkan sokongan mempertahankan kerusi Parlimen Klang.
"Pendirian saya kekal. Charles bertemu saya pada 2013 dan 2018 untuk sokongan bagi pencalonannya di Klang.
"Adalah jelas ketika itu bahawa terdapat gesaan supaya dia diganti. Saya tetap menyokongnya dan dia diberi peluang untuk meneruskannya," kata Gobind dalam satu kenyataan hari ini.
Gobind mengulas kenyataan Charles awal hari ini bahawa dia tidak dimaklumkan oleh DAP bahawa 2018 akan menjadi penggal terakhir dia bertanding di kerusi parlimen Klang.
Ketika berkata demikian, Charles menyifatkan bahawa kenyataan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke bahawa dia (Charles) mengetahui keputusan itu, adalah langkah untuk mengurangkan kritikan terhadap penggantinya.
'Bukan keputusan yang mudah'
Menurut Gobind, dia memberitahu Charles pada 2018 bahawa sukar bagi penyandang parlimen Klang itu untuk bertanding lagi di kerusi berkenaan selepas tempoh itu, dan oleh itu, ia akan menjadi yang terakhir.
“Faktanya, terdapat gesaan untuk menggantikannya dan dia tahu perkara ini, serta sebab-sebabnya.
"Ini juga sekali lagi dimaklumkan kepadanya di pejabat saya minggu lalu, dan dibincangkan antara kami," kata Gobind.
"Seperti yang saya katakan sebelum ini, ini bukan keputusan yang mudah untuk dibuat, tetapi kami telah mengambil kira kedudukan itu, membuat keputusan dan ia kekal," katanya.
Walaupun dikecualikan daripada senarai pencalonan PRU15, Charles berkata dia tetap berharap PH menang PRU.
Awal minggu ini, DAP mengumumkan Adun Kota Kemuning V Ganabatirau akan menggantikan Charles sebagai calon Klang pada PRU15.
Susulan pengumuman itu, Charles menggesa penyokongnya untuk menyokong Ganabatirau bagi memastikan kemenangan untuk PH.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/10/32ea713217055ab6a1aecf6fdc1fc930.jpg)
