Perkembangan terkini: Anak Najib jadi calon BN di Peramu Jaya
Legasi perdana menteri kedua Tun Razak Hussein mungkin berakhir di parlimen Pekan yang disandang allahyarham dan anaknya Najib selama 63 tahun.
Daripada pengumuman malam tadi, BN memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Peramu Jaya Sheikh Mohamad Puzi Sheikh Ali, walaupun sebelum ini terdapat spekulasi anak Najib akan bertanding.
Najib menyandang di kerusi tersebut sejak kematian bapanya pada 1976. Dia kemudian mengambil alih kerusi tersebut pada tahun yang sama dan menang tanpa bertanding sewaktu usianya 23 tahun.
Karier politiknya bermula sejak itu sebagai ahli parlimen yang termuda ketika itu.
Rekod prestasinya itu berjaya dikekalkan sehingga pilihan raya umum ke-14 dengan majoriti 24,859, dengan pertandingan empat penjuru, walaupun ketika itu BN berdepan dengan kekalahan yang teruk.
Bagaimanapun, bekas perdana menteri keenam itu hilang kelayakan untuk bertanding selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara kepada bekas pengerusi BN itu kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Tidak lama selepas itu, spekulasi timbul yang mengatakan anak sulungnya, Nizar akan diletakkan sebagai calon di Pekan. Ini memandangkan ketua pemuda Umno Pekan itu dilihat aktif dan mula turun padang di kawasan tersebut.
Namun, dakwaan berhubung pencalonan anak sulung Najib hasil perkahwinannya dengan isteri pertama Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar dan Nooryana Najwa, anaknya perempuannya hasil perkahwinan kedua Rosmah Mansor, pernah ditepis oleh timbalan ketua Umno bahagian Pekan Zamri Ramly.
