Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Saya orang pertama bangkitkan nasib pembekal projek LCS’

Calon BN di parlimen Lumut Zambry Abdul Kadir berkata bahawa dia antara orang pertama yang membangkitkan isu nasib hampir 400 pembekal terkesan akibat pemberhentian projek pembelian enam kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion.

Katanya, terdapat usaha di peringkat awal supaya projek itu tidak diteruskan dan cubaan menggambarkan projek itu sebagai satu skandal.

"(Jadi) saya membuat satu kenyataan terbuka memohon kepada kerajaan agar ketika mana kita bicara soal LCS ini jangan lupa di sana ada lebih 400 pembekal yang terkesan…,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita di program bertemu pengundi di Pasir Panjang Laut, Lumut, semalam.

Bekas menteri besar Perak itu diminta mengenai kenyataan pencabarnya Mohd Hatta Md Ramli bahawa LCS memberi kesan yang amat meluas di kerusi parlimen Lumut.

Penyandang parlimen Lumut itu mendakwa syarikat utama projek LCS masih tidak membuat pembayaran kepada pembekal yang kebanyakannya terdiri daripada veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Projek LCS adalah perolehan terbesar dalam sejarah kementerian pertahanan. Kontraknya bermula pada 2013 dan dijadualkan siap dalam masa 10 tahun.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya Ogos lalu mendedahkan kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada sebuah syarikat yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima.

Hatta Ramli

Sementara itu, Zambry juga berkata kerajaan perlu meneruskan semula projek itu dengan segera.

"Kalau ada masalah itu berkaitan perlu diselesaikan tapi pada masa yang sama,  perlu melihat tentang sektor pembekal yang diwujudkan hasil daripada projek ini.

"Jadi, sebarang soal yang dibangkitkan mengenai kelewatan projek ini perlu rujuk kepada pihak berkenaannya.

"Apa yang saya sebutkan, ketika mana tidak ada orang bercakap, tapi saya boleh katakan saya orang yang pertama membuat kenyataan memohon kepada kerajan membela 400 pembekal yang terkesan ini.

Hatta menang kerusi parlimen Lumut pada PRU14 dengan majoriti tipis 400 undi mengalahkan Zambry dalam saingan tiga penjuru.

Mereka akan sekali lagi bertembung buat kali kedua pada PRU15 ini yang menyaksikan persaingan lima penjuru melibatkan calon PN, Komander (B) Nordin Ahmad Ismail, Mohd Isnin Ismail (Warisan) dan Mazlan Abd Ghani (Pejuang).

Sebanyak 92,972 pengundi layak mengundi di kerusi parlimen itu.

Lihat Komen
ADS