Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hendak isytihar pun malu, kita tidak ada harta juta-juta, kata PAS

PRU15 l PAS tidak berhasrat untuk mengisytiharkan harta kerana khuatir akan memberi banyak kesan negatif selain pemimpin PAS kebanyakkannya tidak berharta, kata Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah.

Jelasnya pengisythiran harta pada kebiasaannya membabitkan kakitangan awam dan tiada keperluan untuk pemimpin PAS berbuat demikian.

"Apabila menjadi wakil rakyat terutamanya exco perlu membuat pengisytiharan harta kepada nenteri besar dengan mengisi borang dan semuanya itu berlaku, tetapi tidak didedahkan kepada umum.

"Pendedahan ini mungkin ada aspek positif dan juga negatif sebab dalam dunia hari ini kadang-kadang apabila orang tahu kita ada wang dan harta banyak ia memberi implikasi negatif.

"Justeru, kami mengambil pendekatan dengan tidak mengisytihar harta lagipun pemimpin PAS biasanya tidak ada harta.

"Jika hendak isytihar pun malu, sedangkan orang lain ada harta juta-juta," katanya kepada media di Kota Bharu, hari ini.

Mohd Amar ditemui selepas Majlis Penyerahan Cek Bayaran Caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri Penghulu Mukim Dan Tanpa Mukim Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim.

Calon PKR yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sebelum ini disyaratkan melaksanakan proses pengisytiharan harta.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli tampil mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta.

Calon Parlimen Pandan, itu berkata pengisytiharan harta dibuat mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 susulan syarat PKR supaya calon yang bertanding pada PRU-15 untuk berbuat demikian.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim pula mengisytiharkan aset bersih sebanyak RM11.1 juta.

Dalam pada itu Mohd Amar yang juga timbalan menteri Besar Kelantan berkata, Perikatan Nasional (PN) mempunyai peluang untuk menguasai Putrajaya dalam PRU-15 ini.

Katanya ia berdasarkan gelombang dan suasana politik hari ini yang mana PN bukan saja mampu menang di Pahang ataupun Perlis tetapi juga berupaya membentuk kerajaan Persekutuan.

"Jadi kita berharap gelombang ini akan berterusan sehinggalah hari pengundian pada 19 Nov ini," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS