Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berkata mereka bertindak secara adil dan munasabah dalam membenarkan ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee mempertahankan kerusinya atas tiket gabungan itu.

“Kita perlu menyelamatkan beliau (Ronald) daripada semua layanan yang beliau terima di Sabah dengan menawarkan beliau tiket PN dan beri beliau peluang untuk bertanding.

“Saya rasa saya bertindak dengan adil dan munasabah untuk mempertahankan bukan sahaja kedudukan Ronald, tetapi juga kedudukan PN,” katanya yang dipetik oleh Bernama.

Ronald adalah ahli Bersatu yang merupakan sebahagian daripada gabungan PN serta pakatan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pada pilihan raya kali ini, GRS mengadakan pakatan dengan BN yang menyaksikan kedua-dua gabungan itu berkongsi hak untuk meletakkan 25 calon Parlimen di Sabah.

Ronald adalah antara lima penyandang kerusi Bersatu Sabah yang tidak diletakkan sebagai calon oleh GRS. Ini adalah mengejutkan kerana Ronald adalah naib presiden Bersatu.

Pada hari penamaan calon, Ronald memfailkan kertas pencalonannya sebagai wakil PN, dengan mendapat restu daripada pimpinan gabungan PN.

[Baca berita penuh]