PAS tak terasa hati teguran Muhyiddin pada Takiyuddin
PAS sedikit pun tidak terasa dengan kenyataan tegas dibuat Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, yang menyanggah dakwaan dibuat salah seorang pemimpin kanan mereka berhubung isu bekerjasama dengan BN.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, malah menjelaskan tidak ada sebab untuk PAS terasa hati kerana kenyataan PN mesti dibuat oleh Muhyiddin selaku pengerusi.
“Tak ada apa, sebab memang pun kalau kenyataan PN mesti daripada pengerusi PN. Itu normal sebenarnya... tak ada apa.
“Dalam politik ini tak ada (mudah terasa hati), yang penting data dan maklumat itu.
"Kalau kita baca kenyataan Presiden PAS di Melaka (semalam) jelas, tak ada apa,” katanya ringkas selepas program Sepetang Bersama Timbalan Presiden PAS itu di Kuala Nerus, Kuala Terengganu petang tadi.
Tuan Ibrahim berkata demikian mengulas apa reaksi PAS selepas semalam Muhyiddin menyanggah kenyataan dibuat setiausaha agung parti itu, Takiyuddin berhubung percaturan parti itu selepas PRU pada Sabtu ini.
Menurut Takiyuddin PN mungkin boleh bekerjasama dengan BN jika kedua-dua parti gabungan berkenaan gagal mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan persekutuan.
Tidak lama kemudian Muhyiddin menegaskan, dia tidak pernah memberi mandat kepada calon kerusi parlimen Kota Bharu itu untuk berunding dengan BN.
Dalam kenyataan menyusul selepas itu, Takiyuddin berkata, pandangan tersebut pernah disuarakan oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini.
Namun sekali lagi kenyataan berkenaan disanggah. Kali ini oleh Abdul Hadi sendiri. Menurut calon parlimen Marang itu, kenyataan mengenai keterbukaan bersama dengan Umno-BN itu dibuat sebelum parlimen dibubarkan.
Kata Abdul Hadi lagi, PAS lebih rela menjadi pembangkang berbanding bersama dengan BN.
Takiyuddin dalam kenyataan berasingan juga menjelaskan, kenyataannya berhubung kerjasama PN dan BN selepas PRU ke-15 telah diambil di luar konteks dan tajuk yang digunakan oleh beberapa media "mengelirukan pengundi."
Sementara itu, Tuan Ibrahim turut meminta rakyat agar tidak terpengaruh dengan kenyataan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yang mengunjurkan bahawa Pakatan Harapan (PH) sudah mempunyai 90 kerusi dalam tangan dan sedang cuba untuk mendapatkan 100 kerusi.
Tuan Ibrahim berkata kenyataan Rafizi itu hanyalah perang psikologi pihak lawan.
"Data yang kononnya daripada Rafizi ini tak boleh pakai. Dia kata hari ini PH dan menang 100 kerusi, tuan, puan ingat tak PRU14 apa ramalan dia?
"(Ramalan dia) PAS akan kalah semua kerusi di Terengganu, akan kalah semua kerusi di Kelantan dan yang menang hanya satu kerusi saja. Itu ramalan dia dulu. Hari ini dia meramalkan dia dah ada lebih 100 kerusi.
"100 kerusi plastik adalah kot," katanya disambut gelak kecil penyokong yang hadir.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/11/7d4a45777319d44b4237c255dfb7066d.jpg)
