Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'BN maklumkan MCA supaya bersama PN lepas PRU15'
Diterbitkan:  Nov 30, 2022 6:29 PM
Dikemaskini: 10:35 AM

Timbalan Presiden MCA Mah Han Soon hari ini mendedahkan bahawa pemimpin kanan BN yang tidak dinamakan memaklumkan kepada parti itu supaya bersama Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pendedahan itu dibuat susulan dakwaan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa PN memiliki akuan bersumpah (SD) daripada MCA dan MIC yang menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Mah dalam kenyataannya hari ini, tidak mengesahkan mahupun menafikan jika dua ahli parlimen parti itu ada menandatangani sebarang SD yang menyokong PN.

“Selepas berakhirnya PRU15, parti MCA telah dimaklumkan oleh pemimpin-pemimpin kanan dalam BN bahawa BN patut bersama PN bagi membentuk kerajaan berdasarkan kepada keputusan yang dibuat sebelum PRU15 iaitu, No DAP & No Anwar.

“Situasi sama turut berlaku kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Laporan berita juga banyak menyiarkan mengenai sokongan GPS kepada PN selepas mereka dimaklumkan bahawa BN bersetuju menyokong PN,” katanya.

Bagaimanapun, BN menafikan perkara itu, dan mesyuarat dewan tertinggi kemudian memutuskan ketika itu untuk kekal sebagai gabungan pembangkang yang berkecuali.

Pada mesyuarat itu, Mah berkata bahawa Presiden MCA Wee Ka Siong juga mencadangkan mana-mana pihak yang telah menandatangani SD yang menyokong PN supaya menariknya semula serta-merta - keputusan yang diterima pakai oleh BN secara keseluruhan.

MCA dan BN kini menjadi sebahagian daripada kerajaan bersama Pakatan Harapan.

Muhyiddin dan PN sebelum ini mendakwa mereka mempunyai sokongan 115 ahli parlimen tetapi Anwar kemudiannya berjaya mengumpulkan majoriti di Dewan Rakyat.

Hadi memetik SD yang didakwa ditandatangani oleh MCA dan MIC dalam usaha untuk membuktikan bahawa partinya tidak ekstrem dan PN menikmati at sokongan parti-parti bukan Islam lain itu.

Lihat Komen
ADS