KKDN: Hanya permintaan, bukan arahan
Kementerian Keselamatan Dalam Negeri hari ini menafikan bahawa kementerian tela'mengarahkan' akhbar arus perdana supaya tidak memetik atau menerbitkan bahan daripada media internet dan blog.
Kementerian Keselamatan Dalam Negeri hari ini menafikan bahawa kementerian tela'mengarahkan' akhbar arus perdana supaya tidak memetik atau menerbitkan bahan daripada media internet dan blog.
Ketika menjelaskan perkara itu, pegawai kementerian berkenaan mendakwa, pihak berkuasa sekadar "meminta" pihak akhbar berkenaan supaya mendapatkan maklumat yang tepat daripada sumber-sumber yang betul.
Pegawai Kanan Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Che Din Yusof berkata, kerajaan khuatir pihak akhbar menyiarkan "apa sahaja yang datang dari internet" dan ini menjejaskan kredibiliti akhbar itu sendiri.
Ketika dihubungi malaysiakini hari ini, beliau berkata, pihaknya tidak mahu pihak akhbar membuat rakyat percaya setiap apa yang datangnya dari blog dan yang seumpamanya.
Che Din menandatangani pekeliling bertarikh 13 Mac (lihat bawah) yang dihantar kepada ketua pengarang, mengingatkan mereka supaya jangan menyiarkan atau memberi apa-apa pertimbangan terhadap artikel yang disiarkan di internet yang didapati 'anti-kerajaan, bersifat spekulatif dan tidak benar".
Pihak akhbar juga diingatkan bahawa Syarat 11 dalam permit penerbitan mereka, memerlukan mereka mematuhi dan tidak bertindak bercanggah dengan arahan yang dikeluarkan oleh kementerian berkenaan.
Campurtangan
Sementara itu, badan pemantau media Charter2000-Aliran menyifatkannya sebagai satu campurtangan secara terang-terangan terhadap pengurusan harian pihak editorial akhbar-akhbar berkenaan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Penyelarasnya, Dr Mustafa K Anuar dan Anil Netto berkata, perkembangan yang membimbangkan itu, menandakan langkah kebelakang dalam kebebasan akhbar di negara ini di bawah kerajan yang menjanjikan ketelusan dan akauntabiliti.
Mereka bimbang, kerajaan cuba memburuk-burukkan media internet dan blog dengan memberi gambaran bahawa mereka anti-kerajaan, tidak bertanggungjawab, mensensasikan dan tidak menghormati kebenaran.
Sebaliknya, kata mereka, rakyat tahu bahawa media internet dan blog inilah yang telah mendedahkan pelbagai skandal yang tidak akan disiarkan di media-media lain.
Mereka merujuk kepada skandal yang membabitkan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah, Datuk Seri Zulkipli Mat Noor dan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum.
Zulkipli dituduh memperolehi aset yang tidak sepadan dengan sumber pendapatannya, manakala Johari pula didakwa menerima rasuah RM5.5 juta untuk membebaskan tiga suspek jenayah yang ditahan di bawah Ordinan Darurat.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ), Norila Mohd Daud berkata pihak akhbar juga bertanggungjawab untuk mendedahkan salahlaku di peringkat tertinggi selagi ia mempunyai asas untuk menyokong dakwaan mereka.
"Kerajaan boleh mengatakan apa sahaja yang ia suka, tetapi ia masih terpulang kepada pihak akhbar untuk memutuskannya," katanya ketika dihubungi.
Beliau bagaimanapun menegaskan perlunya pihak akhbar memastikan mereka membuat penyiasatan terperinci dan tidak menyiarkan dakwaan yang tidak berasas. Berita asal


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.