Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sng: Pemulaan baru buat PBM, siapa tak setuju dialu-alukan keluar
Diterbitkan:  Dec 29, 2022 3:13 PM
Dikemaskini: 7:13 AM

Selepas melalui beberapa krisis dalaman, Parti Bangsa Malaysia (PBM) kini mengatur beberapa program termasuk menjelajah ke seluruh negara bagi menjelaskan pendirian terkini mereka.

Menganggapnya sebagai suatu "permulaan baru" Presiden PBM, Larry Sng, juga berkata parti terbabit menetapkan beberapa arahan kepada semua ahlinya.

Misalnya Majlis Tertinggi PBM membuat ketetapan bahawa tiada mana-mana ahli mereka boleh menyertai Muafakat Nasional (MN).

Jika ada mana-mana ahli PBM menyertai MN, katanya, keanggotaan mereka akan digantung sebelum akhirnya akan disingkirkan.

"Saya percaya ini adalah permulaan yang baru. PBM memerlukan pemimpin yang bersih dan berpengalaman serta ikhlas membawa perubahan positif kepada landskap politik negara ini.

"Kami tidak akan membawa masuk pemimpin kontroversi dari parti lain untuk menyertai kepimpinan kami, sebaliknya akan memupuk pemimpin baru dari dalam.

"Mereka yang tidak berpuas hati untuk kekal (dalam PBM) dialu-alukan untuk keluar," katanya.

Kenyataan itu dibuat dua hari selepas PBM memecat ahli politik kanan yang disebut-sebut akan diangkat sebagai presiden menggantikan Sng, iaitu Zuraida Kamaruddin.

Turut dipecat ialah 10 pemimpin lain yang dilihat menjadi sekutu rapat bekas ahli parlimen Ampang berkenaan.

Zuraida merupakan bekas naib presiden PKR yang terlibat dalam Langkah Sheraton dan menjatuhkan kerajaan PH di sebalik mandat yang diterima gabungan terbabit dalam PRU ke-14 pada 2018.

Dia asalnya menyertai Bersatu sebelum meninggalkan parti berkenaan dan menyertai PBM.

Pemecatan itu berlaku selepas Zuraida dan sekutunya tidak menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan PBM kepada mereka pada 19 Dis.

Jalin kerjasama pilihan raya

MN merupakan sebuah NGO yang digerakkan bekas pemimpin kanan Umno, Annuar Musa, yang turut mengalami nasib dipecat partinya pada minggu pertama Dis ini.

Pada 14 Dis lalu Annuar mengesahkan Zuraida adalah antara ahli MN.

Menurut Sng, larangan menyertai MN itu merupakan antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PBM baru-baru ini.

PBM juga, katanya, turut menyatakan sokongan mereka terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan sekutu kerajaan perpaduan - PH, BN, Gabungan Rakyat Sabah, Gabungan Parti Sarawak dan Warisan.

“Mereka merupakan sekutu baru kita dan pendirian kerajaan adalah hala tuju parti ini,” katanya.

Dia turut memberi peringatan bahawa PBM adalah parti yang mempunyai akar umbi yang kuat di Sabah dan Sarawak, justeru tumpuan akan turut diberikan kepada pembangunan di negeri berkenaan.

“Pada masa ini PBM mempunyai satu kerusi parlimen dan tiga kerusi DUN (dua di Selangor dan satu di Sabah).

"Kami akan mempertahankan dan bekerjasama dengan sekutu kita dalam menjalin kerjasama dalam pilihan raya.

“Menyertai satu gabungan akan menjadi sesuatu yang perlu dipertimbangkan selepas enam bulan, walaupun perbincangan sedang dilakukan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS