PBB tiada kuasa untuk arah mahkamah bebaskan Najib: Pakar
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak mempunyai kuasa untuk memaksa mahkamah di Malaysia supaya membebaskan bekas perdana menteri Najib Razak daripada menjalani hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhkan ke atasnya, kata pakar undang-undang.
Peguam veteran Mohamed Haniff Khatri Abdulla memberitahu Malaysiakini bahawa badan antarabangsa itu akan berpegang kepada dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal mana-mana negara berdaulat.

“Secara umumnya, badan antarabangsa tidak boleh campur tangan dalam hal ehwal kehakiman mana-mana negara berdaulat.
“Mahkamah di Malaysia bebas dan tidak terikat dengan sebarang keputusan, pandangan atau pendapat badan antarabangsa.
“Jika tidak, badan antarabangsa sendiri akan melanggar konsep antarabangsa mengenai kebebasan negara berdaulat,” kata Haniff.
Semalam, semasa taklimat media, peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah mendedahkan bahawa mereka telah memfailkan petisyen kepada Kumpulan Kerja Majlis Hak Asasi Manusia PBB Mengenai Penahanan Arbitrari (UNWGAD) berhubung dakwaan penahanan arbitrari (sewenang-wenangnya).

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya menolak rayuan Najib terhadap sabitan ke atas tujuh pertuduhan jenayah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes SRC. Bagaimanapun, semakannya terhadap keputusan itu ditetapkan untuk dibicarakan di hadapan panel mahkamah tertinggi yang lain pada 19 Jan.
Bercakap kepada Malaysiakini, peguam veteran Joy W Appukuttan juga bersependapat, dengan mengatakan bahawa cara UNGWAD berfungsi adalah dengan memberi pendapat tidak mengikat dan menggalakkan negara-negara anggota PBB untuk mengikutinya.
“Nampaknya aduan Najib adalah mengenai layanan terhadap peguam pembelanya oleh Mahkamah Persekutuan, dan dia sudah pun memohon untuk semakan semula perkara itu (di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya).
“Dia sudah pun melaksanakan hak undang-undangnya yang ada di Malaysia. Ia seolah-olah di luar konteks jika dia cuba mendapatkan campur tangan UNWGAD sekarang yang diberi kuasa untuk menyiasat kes yang melibatkan 'penafian kebebasan' sedangkan semakan belum selesai," kata Joy.

Semasa sidang media semalam berhubung petisyen PBB, Shafee mendakwa pasukan peguam Najib tidak diberi masa yang mencukupi untuk membuat persediaan bagi rayuan SRC apabila Mahkamah Persekutuan menolak permohonan untuk menangguhkan pendengaran rayuan.
Najib sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, pakar perlembagaan Nizam Bashir berkata peluang bekas perdana menteri itu untuk berjaya dalam petisyen PBB tersebut adalah tipis.

“Bagi saya, badan PBB itu tidak akan cenderung untuk menyiasat petisyen berkenaan kerana keputusan muktamad telah dicapai oleh mahkamah tempatan yang selaras dengan undang-undang negara ini.
“Oleh itu, janganlah kita membuang lebih banyak dakwat atau masa tentang isu ini,” kata Nizam sambil menambah Najib masih mempunyai peluang melalui semakan yang akan datang di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/1f139e2baf4bb3afe71eae747afd3a33.jpg)

/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/08/d28f1d59f749bf9471a4b91d937938a5.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/10/53702c06223ef7123cbf9506208df764.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/07/8aa8978fadee42eadb99c84e832c13e4.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/12/797d99ce9596787a7fc3476806176454.jpg)