Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sesi pemukiman menteri bincang KPI 100 hari - PM

Perdana menteri, Anwar Ibrahim berkata anggota kabinet akan mengadakan sesi pemukiman (retreat) minggu depan untuk membentangkan prestasi semasa dan rancangan dalam tempoh 100 hari pertama pentadbirannya.

Anwar berkata demikian ketika enjawab soalan seorang hadirin pada majlis makan malam anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta mengenai sasaran khusus dalam tempoh 100 hari pentadbirannya.

Butiran lanjut akan dibincangkan pada sesi pemukiman berkenaan.

“Seminggu lagi akan diadakan pemukiman menteri untuk para menteri membentangkan pencapaian mereka setakat ini.

“Pada retreat itu mereka boleh membentangkan pencapaian mereka, KPI (yang perlu dipenuhi) dan rancangan pada masa depan,” kata Anwar pada majlis yang diadakan sempena lawatan rasmi pertamanya ke Indonesia.

Isteri Anwar Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar Zambry Abdul Kadir dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz merupakan antara delegasi Malaysia yang hadir pada majlis itu.

Turur hadir ialah Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Menjawab soalan mengenai Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan, Anwar secara berseloroh berkata dia pernah membentangkan lapan belanjawan sebelum ini dan oleh itu akan melakukan persediaan dengan baik.

"Kami akan mengambil kesempatan daripada semua elemen positif dalam bajet (2023 sebelum ini) yang dibentangkan Tengku Zafrul," kata Anwar.

Terdahulu dalam ucapannya, Anwar menegaskan kepentingan Malaysia dalam melakar landskap politik baru selepas pilihan raya umum ke-15 yang lalu, dengan memberi tumpuan bagi menangani elemen yang mengancam demokrasi, termasuk isu rasuah.

Lihat Komen
ADS