Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mahkamah Persekutuan tolak rayuan cabar pengampunan Anwar

Mahkamah tertinggi negara menolak permohonan seorang peguam untuk mendapatkan kebenaran meneruskan rayuan untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap pengampunan diraja yang diberikan kepada Anwar Ibrahim berhubung sabitan perdana menteri dalam kes liwat.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat pagi ini sebulat suara membatalkan permohonan Mohd Khairul Azam Abdul Aziz untuk mendapatkan kebenaran merayu.

Anggota panel hakim lain yang bersidang sanma adalah P Nallini dan Vernon Ong Lam Kiat.

Khairul Azam sedang merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan Ahli Parlimen Tambun Anwar untuk membatalkan writ saman pada 21 Sept 2021.

Anwar kemudian merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan pembatalannya pada 21 Sept 2020.

Dalam penghakiman lisan ringkas yang disampaikan selepas panel mendengar hujahan daripada peguam pagi ini, Tengku Maimun berkata bahawa Mahkamah Rayuan telah membuat penemuan fakta bahawa Lembaga Pengampunan telah ditubuhkan dengan betul pada Mei, 2018.

Katanya, isu kuasa pengampunanYang di-Pertuan Agong adalah sesuatu yang tidak boleh dicabar di mahkamah yang telah diselesaikan.

“Kami dapati perkara itu telah menjadi akademik. (Permohonan untuk kebenaran merayu) ditolak tanpa perintah kos,” kata Tengku Maimun semasa prosiding dalam talian.

Kesan keputusan mahkamah tertinggi negara hari ini untuk menolak kebenaran bermakna ia tidak akan menetapkan sebarang tarikh lanjut untuk mendengar merit rayuan.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla bertindak mewakili Khairul Azam, manakala responden, Lembaga Pengampunan dan Anwar diwakili peguam J Leela serta peguam kanan persekutuan Suzana Atan.

Pada 26 Feb 2020 di Mahkamah Tinggi, Khairul Azam memfailkan tindakan sivil yang menamakan Lembaga Pengampunan dan Anwar sebagai dua defendan.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan seorang peguam gagal mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan hari ini untuk mencabar kesahan pengampunan diraja yang diperoleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel tiga hakim dalam  keputusan sebulat suara, menolak permohonan Mohd Khairul Azam Abdul Aziz untuk mendapatkan kebenaran merayu selepas mendapati perkara itu kini bersifat akademik.

“Mahkamah sebelum ini telah membuat dapatan fakta bahawa Lembaga Pengampunan telah ditubuhkan mengikut Perlembagaan. Kami bersetuju bahawa soalan yang dicadangkan oleh pemohon (Mohd Khairul) tidak memenuhi keperluan ambang di bawah Seksyen 96(a) dan (b) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

“Isu ketidakwajaran telah diselesaikan dan tiada sebab untuk meninggalkan duluan undang-undang sedia ada,” kata Ketua Hakim Negara ketika menyampaikan keputusan hari ini melalui prosiding dalam talian.

Panel itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Vernon Ong Lam Kiat.

Atas nasihat Lembaga Pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tengku Maimun berkata mahkamah tertinggi itu mendapati tiada asas untuk mencadangkan sebarang salah nyata dalam nasihat yang ditawarkan.

Beliau berkata dalam isu sabitan, mahkamah mendapati dokumen pengampunan itu tidak merujuk kepada fakta bahawa sabitan itu diketepikan.

“Tidak timbul soal kuasa mahkamah dirampas. Akhirnya kita dapati perkara itu telah menjadi akademik. Oleh itu, kedua-dua permohonan ditolak tanpa perintah mengenai kos,” katanya.

Tengku Maimun membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Mohd Khairul, J. Leela mewakili Perdana Menteri dan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan bertindak bagi Lembaga Pengampunan.

Pada 21 Sept 2021, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Anwar dan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk membatalkan saman yang difailkan terhadap mereka oleh Mohd Khairul. 

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hakim Datuk Has Zanah Mehat, Datuk Indera Mohd Sofian Abd Razak dan Datuk Lee Heng Cheong berpendapat Mohd Khairul tidak berhak untuk mempersoalkan pengampunan dan nasihat yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pemberian pengampunan kepada Anwar.

Pada 21 Sept 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar dan Lembaga Pengampunan untuk membatalkan saman pemula itu.

Mohd Khairul Azam, yang memfailkan saman pemula itu pada 26 Feb 2020, menamakan Lembaga Pengampunan dan Anwar sebagai responden, mendakwa beberapa tindakan tidak berperlembagaan telah diambil bagi memastikan Anwar menerima pengampunan yang membebaskannya dari penjara susulan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Peguam itu mendakwa pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar oleh Yang di-Pertuan Agong bercanggah dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan berikutan kuasa pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah dilaksanakan atas nasihat Lembaga Pengampunan.

Dakwanya, pada ketika itu Lembaga Pengampunan belum dibentuk dengan sempurna berikutan negara baru selesai menjalankan PRU ke-14 pada 9 Mei 2018 dan dalam proses membentuk kerajaan baharu.

Anwar telah dihukum penjara lima tahun kerana meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan sabitan serta hukuman itu dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb 2015.

Lihat Komen
ADS