1MDB: Bekas jurubank akui gagal uruskan akaun Najib
PERBICARAAN 1MDB l Bekas jurubank Najib Razak memberi keterangan bahawa ia adalah kegagalannya menguruskan akaun peribadi Najib Razak apabila tidak berhubung terus dengan bekas perdana menteri itu berhubung transaksi dalam akaun miliknya.
Sebaliknya bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping mengakui dia berurusan dengan ahli perniagaan yang menjadi buruan, Low Taek Jho (Jho Low) berhubung akaun bank tersebut.
Yu berkata demikian ketika memberi keterangan lisan semasa perbicaraan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini terhadap Najib yang juga adalah bekas menteri kewangan berhubung kes rasuah 1MDB bernilai RM2.28 bilion.
Saksi pendakwaan ke-41 itu membuat pengakuan berkenaan semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah.
Peguam itu mengasaknya tentang sama ada dia mempunyai sebarang kuasa bertulis untuk berunding dengan Low berhubung pengurusan akaun Najib, atau tidak sedangkan Nik Faisal Ariff Kamil adalah pemegang mandat yang diberi kuasa ke atas akaun perdana menteri ketika itu.
Semasa perbicaraan berasingan Najib berhubung kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta, Yu memberi keterangan bagi pihak pendakwaan bahawa dia kerap berunding melalui Blackberry Messenger (BBM) dengan Low berhubung pengendalian akaun tertuduh. Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan kes itu.
Bekas ketua pegawai pelaburan 1MDB dan ketua pegawai eksekutif SRC Nik Faisal, yang bersama Low, sedang dicari oleh pihak berkuasa Malaysia untuk membantu siasatan berhubung skandal kewangan itu.

Shafee: Adakah terdapat sebarang kebenaran bertulis untuk kamu menghubungi Jho Low berhubung akaun Najib?
Yu: Tidak. Tiada apa-apa secara bertulis.
Shafee: Adakah itu satu kegagalan di pihak kamu sebagai seorang pegawai bank?
Yu: Ya, itu adalah kegagalan saya.
Semasa perbicaraan, Shafee juga menyoal jika Yu mengesyaki sesuatu tentang dakwaan surat daripada kerabat Arab Saudi yang mendakwa derma jutaan juta dolar akan diberikan kepada Najib. Yu berkata dia ketika itu tidak mensyaki apa-apa.
Apabila Shafee menyoal jika Yu bertanya kepada Najib secara langsung mengenai wang AS$620 juta yang mengalir ke dalam akaun perdana menteri itu pada 2013 (sebelum sebahagian besarnya dikeluarkan pada akhir tahun itu), dia berkata dia tidak menghubungi pemegang akaun tersebut secara langsung tetapi sebaliknya berurusan dengan Nik Faisal dan Low.

Sebelum ini, pasukan pembelaan membangkitkan isu tentang empat surat Arab Saudi yang didakwa menjanjikan lebih AS$1 bilion dolar kepada Najib. Surat itu didakwa mengatakan bahawa pemberian tersebut tidak boleh ditafsirkan sebagai rasuah kerana ini bertentangan dengan amalan Islam dan ia sekadar tanda penghargaan peribadi kepada perdana menteri ketika itu untuk meneruskan kerja-kerja mempromosikan Islam di seluruh dunia.
Semasa prosiding di hadapan hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah, Shafee juga membangkitkan isu penamatan perkhidmatan Yu daripada AmBank.

Dia menjelaskan bahawa tiada surat tunjuk sebab dikeluarkan kepadanya sebelum ditamatkan perkhidmatannya dengan bank berkenaan, dan terdapat banyak sebab di sebalik pemberhentian itu.
Peguam itu kemudian memintanya untuk membawa surat pemberhentian tersebut ke mahkamah apabila perbicaraan disambung semula pada Isnin minggu depan, yang katanya dia akan mencarinya.
Shafee kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa pasukan pembelaan mahu Yu membawa surat penamatan perkhidmatan tersebut kerana ia berkaitan secara langsung dengan pembelaan tertuduh.
Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.28 bilion 1MDB.
Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.
Pihak pendakwaan berhujah bahawa salah laku itu didalangi oleh Low dan beberapa yang lain, tetapi dengan restu Najib.
Bagaimanapun, pasukan pembelaan tertuduh mendakwa Najib tidak mengetahui jenayah yang berlaku di 1MDB dan bahawa Low, serta ahli pengurusan lain firma itu yang sebenarnya mendalangi penyelewengan berkenaan.
Asalnya, SRC adalah anak syarikat 1MDB, tetapi kemudiannya menjadi milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc). MOF Inc juga adalah pemilik penuh 1MDB.
Najib juga pernah menjadi penasihat emeritus kepada SRC serta pengerusi lembaga penasihat 1MDB.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/08/46fb14460097e8b571f8fef0bf4aee7d.jpg)

/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/12/797d99ce9596787a7fc3476806176454.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/01/df6343e97c9ee1d9233e93e1555aeec8.jpg)