Perdana Menteri Anwar Ibrahim, bekas peguam negara Tommy Thomas, dan beberapa peguam dan ahli politik lain mengucapkan takziah atas pemergian timbalan pendakwa raya kanan Gopal Sri Ram, yang meninggal dunia petang ini pada usia 79 tahun.

“Takziah kepada keluarga mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram atas pemergian mendiang. Semoga urusan keluarga dipermudah dan keluarga kuat serta cekal berdepan khabar duka ini,” ciap Anwar di Twitter sejurus selepas berita pemergian Sri Ram dilaporkan.

Sementara itu, Thomas menyifatkan bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu sebagai khazanah negara dan dia berasa sangat sedih dengan kehilangan itu.

“Gopal mempunyai pemikiran bertaraf dunia; kebijakannya dalam dunia perundangan.

“Dia merupakan rakan saya dan saya sedih atas pemergiannya,” kata Thomas.

Dia berkata Gopal telah menyumbang paling banyak kepada biasiswa perundangan Malaysia dan pentadbiran keadilan di negara ini selepas Merdeka.

Thomas berkata Gopal adalah peguam terkemuka Malaysia yang diberi ganjaran untuk menjadi pelantikan secara langsung yang pertama ke Mahkamah Rayuan pada 1994, yang ketika itu baru ditubuhkan.

Tambahnya, Gopal juga merupakan salah seorang hakim yang hebat dalam negara, di mana penghakimannya dimasukkan dalam laporan undang-undang untuk pelbagai cabang undang-undang.

Selain itu, kata Thomas lagi, mendiang juga merupakan pendakwa raya terkemuka Malaysia dalam mengetuai pendakwaan paling sukar negara iaitu berkaitan skandal 1MDB.

Pelbagai reaksi terhadap pemergian Gopal turut dikongsi pemimpin politik Twitter.

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Gopal, berkata peguam veteran itu memberikan "khidmat cemerlang" kepada negara, terutamanya dalam kes 1MDB serta banyak lagi kes kepentingan negara dan awam.

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut berterima kasih kepada Gopal atas khidmatnya kepada negara dan berkata Malaysia telah kehilangan individu bijak pandai dalam perundangan.

“Takziah kepada keluarga mendiang. Anda akan dirindui. Semoga tenang di sana, tuan,” katanya.

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan, yang juga merupakan seorang peguam berkata dia sedih mendengar pemergian Gopal.

“Dia sentiasa ramah dengan saya apabila kami bertemu di mahkamah – ketika dia kembali bertugas – atau semasa ceramah atau kuliah.

“(Dia) sentiasa bersedia untuk berkongsi coretan pengetahuannya yang mendalam tentang perundangan,” kata Syahredzan.

Rakan-rakan peguam juga menyuarakan kesedihan mereka atas pemergian Gopal, apabila ramai daripadanya mengingatinya dengan sebagai seorang yang baik hati.

Peguam Siti Kasim berkata Gopal menawarkan khidmat guamannya secara pro-bono sebelum ini ketika dia didakwa di mahkamah.

“Saya ada (peguam) Suzana Norlihan ketika itu. Seorang yang baik hati. Saya akan merinduinya,” katanya.

Sementara itu, peguam Malik Imtiaz Sarwar berkata dia telah banyak belajar daripada hakim yang telah bersara itu.

Gopal meninggal dunia pada 12.15 tengah hari tadi di Hospital Gleneagles di Kuala Lumpur.

Dia dilaporkan sedang menjalani rawatan jangkitan paru-paru di hospital minggu lalu dan dispekulasikan bahawa dia dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Dia mengetuai pendakwaan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dalam perbicaraan rasuah 1MDB yang sedang berlangsung.

Dia juga merupakan pendakwa utama dalam projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion yang melibatkan isteri Najib, Rosmah Mansor.