SPRM sedang menyiasat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Holdings Sdn Bhd berhubung dakwaan ketidakcekapan dan ketirisan dalam pengurusannya sehingga membawa kepada kerugian RM157 juta selama empat tahun.

Mengesahkan perkara itu, seorang jurucakap syarikat pelaburan yang dimiliki sepenuhnya oleh UiTM memberitahu Utusan Malaysia bahawa dakwaan itu "bukan perkara baharu", dan SPRM sudah pun mengambil tindakan lebih dua tahun lalu.

“Pengurusan UiTM Holdings memang memberi kerjasama penuh kepada SPRM untuk menjalankan siasatan. 

“Malah, kami juga menyerahkan dokumen-dokumen diperlukan termasuk melibatkan pelaburan yang dikatakan mengalami ke­­rugian,” kata jurucakap itu kepada akhbar berkenaan.

Menurut jurucakap itu lagi, UiTM Holdings, yang menguruskan lapan syarikat dalam sektor tenaga, penjagaan kesihatan, teknologi, dan kreatif, berada di bawah pengurusan baharu sejak Disember 2021 dan mengutamakan tadbir urus korporat yang baik serta memastikan perniagaan dijalankan benar-benar berpotensi dan berdaya tahan.

Semalam, media melaporkan UiTM Holdings mengalami kerugian sebelum cukai terkumpul sebanyak RM157 juta selama empat tahun iaitu bagi tahun-tahun 2017, 2018, 2019 dan 2021. Syarikat itu tidak membentangkan rekod kewangannya bagi tahun 2020.

Menurut laporan itu, majoriti kerugian ditanggung daripada pelaburan dalam penerbitan filem tempatan, manakala selebihnya berkaitan dengan kepentingan dalam sebuah resort di Seksyen 7, Shah Alam, yang telah ditutup.

Naib Canselor UiTM Prof Dr Roziah Mohd Janor memberitahu akhbar itu bahawa universiti tersebut akan bekerjasama dengan SPRM dalam siasatan.

Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin turut mengalu-alukan siasatan itu, dan berkata kementerian tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran dan ketidakpatuhan garis panduan serta  undang-undang yang ditetapkan.

“Selain daripada siasatan yang dijalankan, KPT akan membuat semakan dan penambahbaikan terhadap garis panduan yang telah ditetapkan berkenaan pengurusan syarikat pegangan universiti serta mengukur kepatuhan oleh syarikat-syarikat yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.