Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Halimah nafi kaitkan Menu Rahmah dengan kanser
Diterbitkan:  Feb 20, 2023 4:24 PM
Dikemaskini: 8:24 AM

PARLIMEN | Menafikan kecaman ke atasnya, Ahli Parlimen Kapar Dr Halimah Ali menafikan dia ada mengaitkan inisiatif Menu Rahmah dengan penyakit kanser.

Malah pemimpin PAS itu meminta sesiapa yang mengecamnya untuk merujuk kepada hansard (rekod rasmi parlimen) untuk membuktikan kenyataan dibuat sebelum ini.

"Tengok hansard, saya tak ada pun kata Menu Rahmah menyebabkan kanser, tengok hansard..." katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Halimah berkata demikian sebagai reaksinya terhadap serangan lisan daripada Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang mengecamnya kerana mendakwa dia bimbang Menu Rahmah menyediakan hidangan berkualiti rendah.

Makanan sebegitu dakwa Halimah boleh menyebabkan risiko penyakit seperti kanser dan autisme.

Beberapa pihak termasuk NGO berkaitan autisme sudah menyatakan rasa kesal mereka dengan kenyataan dibuat Halimah pada minggu lalu.

Mohd Sany Hamzan

Mereka juga menegaskan kecacatan akibat autisme bukanlah disebabkan pemakanan sebaliknya kelainan semula jadi.

NGO terbabit juga menegaskan kenyataan bekas exco Selangor pada zaman Pakatan Rakyat itu dibuat tanpa fakta atau data saintifik.

Sementara itu semakan ke atas hansard parlimen bertarikh 14 Feb lalu menunjukkan kenyataan Halimah adalah seperti berikut: "Kita tak mahu shortcut (jalan pintas), kita tak mahu kompromi daripada bekalan makanan yang low quality. Saya tidak ada masalah dengan istilah rahmah atau apa tetapi jangan sampai rakyat marhaen B40 diberikan bekalan makanan yang low quality dan mungkin juga menyebabkan mereka terdedah kepada kanser, autoimmune disease, kepada autisme dan sebagainya."

Pada 16 Feb lalu Halimah berkata dia tidak bermaksud untuk mengatakan bahawa mengambil makanan berkualiti rendah boleh membawa kepada gangguan perkembangan manusia seperti autisme.

Menu Rahmah merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu orang ramai khususnya golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan makan tengah hari dan malam pada harga maksimum RM5.

Klip ucapan Halimah di Dewan Rakyat itu tular sejak minggu lalu sebelum dilaporkan secara meluas oleh media massa.

Program ini pada masa ini merupakan inisiatif perniagaan semata-mata tanpa pembiayaan kerajaan, walaupun insentif untuk kedai makan yang mengambil bahagian sedang dipertimbangkan.

Semasa perbahasan titah di Dewan Rakyat hari ini, Awang Hashim (PN-Pendang) dan Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) mempersoalkan sama ada program itu mampan, dan apakah jenis insentif yang akan diberikan kerajaan kepada peniaga yang mengambil bahagian untuk memastikan ia bertahan lama.

Lihat Komen
ADS