Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Exco PAS dikecam kerana 'cemuh' Menu Rahmah
Diterbitkan:  Mar 3, 2023 6:09 PM
Dikemaskini: 3:19 PM

Selepas beberapa kontroversi berhubung hidangan Menu Rahmah mengaitkan wakil rakyat PAS, kali ini seorang Adun parti itu melalui rakaman video kelihatan seakan mencela sajian yang dijamahnya itu.

Dalam satu video yang dimuatnaik dalam akaun TikTok, Adun Chukai Hanafiah Mat dilihat mengadu tentang kekurangan hidangan nasi campur yang dimakannya.

"Ikan seekor, sayur dua butir, kuah tak ada pula.

"Ini minta kuah dia, aku bubuh hah," keluhnya.

Exco PAS bagi portfolio Kebajikan, Pembangunan Wanita Dan Keluarga, dan Perpaduan Nasional itu kemudian menuangkan kuah dalam cawan ke dalam hidangannya itu.

"Ni ha kita curah air oren. Jadilah hah," katanya lagi.

Video yang kini tular di media sosial mendapat kecaman banyak pihak, termasuklah beberapa Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman.

"Hina rezeki satu perbuatan yang keji, tidak berakhlak," kata Fahmi yang juga ahli parlimen Lembah Pantai.

Sementara itu, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman senada dengan Fahmi apabila menyifatkan tindakan Hanafiah itu sebagai memalukan, dan seperti menghina golongan yang kurang berkemampuan.

“Ramai orang susah mendapat manfaat dari Menu Rahmah.

“Bukan semua bergaji besar seperti YB Exco dan boleh makan di tempat yang mewah.

“Kalau tidak setuju pun, tiada keperluan untuk merendahkan martabat orang susah dengan meremehkan makanan mereka. Memalukan,” ciapnya di Twitter.

Video itu bagaimanapun tidak dapat dikesan lagi di TikToknya petang ini, kemungkinan dipadam.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas Hanafiah berkaitan kontroversi itu.

Sebelum ini, ahli Parlimen Kapar Dr Halimah Ali mencetuskan kontroversi ketika berbahas di parlimen apabila mengaitkan Menu Rahmah dengan risiko ancaman kesihatan termasuk kanser dan autisme.

Dia yang berulang kali menafikan kenyataannya itu meminta sesiapa yang mengecamnya untuk merujuk kepada hansard (rekod rasmi parlimen) untuk membuktikan kenyataan dibuat sebelum ini.

Menu Rahmah merupakan cetusan idea kerajaan dan dilaksanakan syarikat swasta sukarela dalam membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama golongan memerlukan untuk mendapatkan makanan bermasak seimbang pada harga RM5 dan ke bawah.

Lihat Komen
ADS