Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kadir: Anwar masih terperangkap dalam lipatan masa, beban lampau
Diterbitkan:  Mar 19, 2023 12:55 PM
Dikemaskini: 4:55 AM

Tokoh wartawan A Kadir Jasin menyifatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim masih terperangkap dengan "lipatan masa" dan "beban masa lampau", walaupun setelah lebih 100 hari dilantik ke jawatan itu.

Menurut Kadir, Anwar seharusnya bergerak ke hadapan sebagai perdana menteri dalam mengetuai pentadbiran negara.

"Anda sangat berkuasa. Anda perdana menteri dan menteri kewangan. Anda juga berkuasa ke atas Wilayah Persekutuan, hal ehwal agama dan undang-undang. Peruntukan kewangan tak payah kiralah.

"Jadi, let's make it happen. Bergeraklah ke hadapan sebagai perdana menteri yang berdedikasi. Jangan terus terkurung dalam lipatan masa, bergaduh sana sini dengan bayang-bayang sendiri," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Kadir tidak merujuk mana-mana isu secara khusus namun hantaran itu dibuat sehari selepas Kongres Nasional Khas PKR 2023.

Dalam ucapannya, Anwar yang juga presiden PKR dilihat menyerang Dr Mahathir Mohamad walaupun tidak menyebutnya secara khusus.

“Ada orang sekarang setelah 22 tahun campur 22 bulan pegang kuasa, mengeluh Melayu hilang segala-galanya, hilang harta, hilang saham. Bagaimana tak hilang kalau kamu bolot untuk kamu, untuk keluarga kamu dan anak-anak kamu. Sekarang bila hilang kuasa, bicara soal rakyat," katanya.

Anwar juga memberi jaminan bahawa dia tidak akan berlaku zalim terhadap mana-mana pihak termasuk pemimpin pembangkang, memandangkan dia telah melalui kesukaran sebelum ini.

Kadir berkata Anwar boleh terus bernostalgia tentang kesukaran yang ditempuhinya dan ia akan dipaparkan media, namun laporan seumpama itu tidak akan menyelesaikan masalah rakyat pada masa ini.

"Semua kita, tidak kira mulia atau hina, tinggi atau rendah, ada cerita. Tetapi ramai tidak ada masa, kedudukan dan saluran untuk bernostalgia dan bermegah-megah dengan parut di dahi dan calar di hati.

"Dengan izin: We have to bury our hatchets, heal the wounds and move on (Lupakan perbalahan, rawat luka dan melangkah ke hadapan)," katanya lagi.

Dalam pada itu, Kadir juga membangkitkan langkah Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yang menggunakan kuasanya untuk memberi pengecualian kepada Umno daripada mematuhi Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 selepas tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden dalam pemilihan kali ini.

Katanya, orang ramai boleh menerima PH yang perlu bekerjasama dengan Umno bagi menubuhkan kerajaan namun tidak ramai yang boleh menerima tindakan itu hanya untuk "menyelamatkan Umno daripada diharamkan".

Lihat Komen
ADS