Paling Popular
Terkini

Antunan seksual (sexual grooming) kanak-kanak antara punca mengapa sebahagian daripada kanak-kanak atau remaja terjerumus dalam gaya hidup homoseksual, kata Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni. 

Dia terdahulu menjawab soalan tambahan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) yang  bertanya berhubung strategi kerajaan bagi menangani isu jangkitan HIV berdasarkan kumpulan sasaran yang dikenalpasti oleh pihak kementerian, memandangkan pasangan homoseksual mencatatkan data kes jangkitan paling tinggi dalam negara. 

“Antara langkah-langkah yang saya lihat untuk mencegah jangkitan ini adalah sekiranya data menunjukkan jangkitan bermula pada umur 20 bermaksud, jangkitan tersebut telah berlaku pada tempoh usia remaja dan itu bermaksud sudah bermula di peringkat persekolahan. 

“Saya juga melihat isu seperti ‘grooming’ adalah juga merupakan punca mengapa sebahagian kanak-kanak ataupun remaja terpaksa, dipaksa untuk memilih gaya hidup yang tidak sihat ini. 

“Dan juga selain daripada itu, kita perlu bekerjasama dengan agensi-agensi NGO yang sentiasa mengadakan awareness untuk cara-cara pencegahan,” kata Lukanisman ketika sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini. 

Menurut data KKM, penularan HIV melalui perkongsian jarum mula menurun pada tahun 2010, manakan penularan melalui seks mula meningkat.

Sejak 2016 dan tahun berikutnya, penularan jangkitan tersebut melalui hubungan seksual antara lelaki menjadi punca utama penyebaran HIV.

Sementara itu, 45 peratus kes HIV yang dilaporkan pada 2021 adalah berumur 20 hingga 29 tahun, dengan tiga peratus berumur 13 hingga 19 tahun.

Lukanisman berkata kementerian itu perlu bekerjasama dengan NGO untuk mewujudkan kesedaran mengenai pencegahan HIV.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS