Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB Kedah dakwa sewaan tempat untuk programnya dibatalkan
Diterbitkan:  Mar 30, 2023 1:36 PM
Dikemaskini: 6:27 AM

Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa sewaan sebuah premis bawah seliaan Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan untuk acara buka puasa dia bersama anak-anak Kedah di perantauan ditarik balik.

Justeru, kata Menteri Besar Kedah itu, program yang sepatutnya berlangsung pada 9 April ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang akan diteruskan di lokasi baru.

"Kelulusan Dewan A MAEPS Serdang, Selangor di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pula ditarik balik.

"Kami nak buat majlis berbuka puasa saja pun. Dewan tu pun kerajaan Kedah akan bayar sewa, awat la (kenapalah) sampai lagu tu (macam tu).

"Kedah ini kan menghasilkan 43 peratus beras untuk negara," katanya dalam hantaran di Facebook dalam loghat utara, hari ini.

Semalam Sanusi mendakwa dia disekat daripada menyertai sebarang program kerajaan pusat termasuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (Lima) di Langkawi.

"Apa boleh buat.

"If you panaih, please don't koyak (Kalau kamu panas, tolong jangan meracau,” tulisnya di Facebook tanpa membuat huraian lanjut.

Susulan itu Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata dia tidak pasti apa yang dimaksudkan oleh Sanusi.

Menjawab soalan pemberita di Kedah semalam, Fahmi berkata dia sentiasa mengundang semua pihak yang berkenaan untuk menyertai acara rasmi kerajaan.

Malah, kata ahli parlimen Lembah Pantai itu, dalam acara di Sungai Petani, terdapat wakil pejabat anggota parlimen Padang Terap dari PAS turut hadir.

Shahidan bangkitkan di parlimen

Sanusi berkata walaupun sewaan dewan tersebut dibatalkan, majlis yang dirancang oleh pihaknya tetap akan diteruskan di lokasi lain di Kuala Lumpur.

"Tak apa, tak gaduh kalut-kalut kelam-kelibut. Program akan diteruskan seperti dirancang. Lokasi terkini akan dimaklumkan segera, Kolompo (Kuala Lumpur) jugalah.

"Hangpa mai bagi ghamai noooh. If you panaih please don't koyak," katanya.

Beberapa pemimpin PN sebelum ini juga mendakwa kerajaan mengetepikan negeri pimpinan pembangkang, tetapi Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan tersebut.

Bercakap di parlimen baru-baru ini, Anwar menyifatkan dakwaan sedemikian adalah palsu dan fitnah, dan menegaskan kerajaannya telah membantu dan memberi perhatian kepada semua negeri.

Untuk rekod Sanusi tidak hadir menyambut ketibaan Anwar di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar dalam lawatan pertama ahli parlimen Tambun itu ke Kedah sebagai perdana menteri.

Anwar berkunjung ke negeri tersebut untuk menghadap Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Anwar sebaliknya disambut Ketua Polis Kedah Wan Hassan Wan Ahmad dan mufti negeri Sheikh Fadzil Awang.

Perdana menteri juga sebelum ini memfailkan saman fitnah - atas kapasiti peribadinya - terhadap Sanusi berhubung ucapan kempen pilihan raya di kawasan parlimen Tambun pada 13 Nov tahun lalu.

Dalam perkembangan sama, dakwaan larangan yang dikenakan ke atas Sanusi dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini apabila Shahidan Kassim (PN-Arau) membawa perkara itu.

Menurutnya, program kerajaan negeri yang ditetapkan dihadiri Sanusi di bangunan milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dibatalkan pada saat-saat akhir.

Shahidan mempersoalkan mengapa menteri besar yang dilantik secara sah boleh dilarang menghadiri majlis di negerinya sendiri

"Dia tidak boleh menyewa venue di negeri lain. Saya tidak tahu bagaimana lagi dia (Sanusi) boleh menyewa (venue) untuk mengadakan acara.

"Kenapa ini terjadi?" katanya.

Menjawab kenyataan itu, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berkata dia belum menerima sebarang usul berhubung perkara itu, dan meminta Shahidan memfailkan satu usul berkaitan.

"Adakah anda mempunyai bukti bahawa kerajaan mengeluarkan arahan untuk menghalang MB Kedah daripada menyertai mana-mana program? Tidak betul? Anda hanya bersandarkan (dakwaan) kepada laporan berita.

"Jadi jika Arau (Shahidan) boleh memfailkan usul mengenai perkara itu, saya akan mempertimbangkan (berbahas di dewan)," katanya.

Lihat Komen
ADS