Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Permohonan dialog ditolak sebab surat ditujukan pada orang yang salah'

Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini mengakui menerima surat permohonan daripada Mahasiswa Demokratik Malaysia untuk menganjurkan sesi dialog pada malam Khamis lalu di kampus universiti itu di Shah Alam, Selangor.

Bagaimanapun, jurucakap UiTM memberitahu Malaysiakini bahawa surat itu - yang dilampirkan dalam satu emel - dialamatkan kepada orang yang salah, bukannya kepada Naib Canselor UiTM Roziah Mohd Janor.

"Ya, alamat emel betul. Tapi, lampirannya (ditujukan) bukan kepada naib canselor.

"Ia ditujukan kepada timbalan naib canselor Hal ehwal pelajar (Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi).

"Tersilap di situ. Apa-apa permohonanan perlu melalui naib canselor," katanya.

Katanya lagi, apabila menyedari kesilapan itu, pejabat naib canselor telah cuba menghubungi Mahasiswa Demokratik Malaysia untuk membuat pembetulan tetapi tidak berjaya.

"Kita cuba hubungi wakil tapi tak ada maklum balas. Kita Cuba nak maklumkan balik kepada wakil Mahasiswa demokratik Malaysia. Kita minta mereka hadir untuk bincang, pun tak hadir.

"Bila saluran tak betul dan tak ikut prosedur yang betul, kita tolak permohonan itu," katanya lagi.

Terdahulu, Roziah dilaporkan berkata UiTM tidak menerima surat permohonan daripada penganjur untuk mengadakan sesi tersebut.

Susulan itu, Mahasiswa Demokratik dalam ciapan di Twitter mendakwa Roziah telah berbohong kepada pelajar.

Dalam ciapan yang turut melampirkan tangkap layar emel yang dihantar, mereka berkata surat itu hanya menerima maklum balas daripada pejabat timbalan naib canselor.

Pada 30 Mac lalu, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dijadualkan bercakap dalam sesi tersebut, mempersoalkan pembatalan acara itu.

Dia mendakwa UiTM pada 28 Mac menolak permohonan untuk penganjuran acara itu dengan alasan untuk mengekalkan keharmonian dalam kampus.

Ahli parlimen Muar itu bagaimanapun tetap hadir ke UiTM Shah Alam bersama-bersama penyokongnya pada malam sesi itu dijadual diadakan.

Pada malam itu, pengawal keselamatan menutup pintu pagar dalam usaha menghalang mereka memasuki kawasan universiti.

Syed Saddiq kemudian mengadakan rundingan dengan kakitangan UiTM dan kemudian memaklumkan pihak universiti setuju untuk menjadualkan semula sesi dialog itu ke satu tarikh yang lain.

Lihat Komen
ADS