Paling Popular
Terkini

Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang baru manakala Wong Shu Qi (PH-Kluang) pula menjadi naib pengerusinya.

Dengan itu, kali pertama dalam sejarah dua jawatan tertinggi dalam jawatankuasa itu disandang oleh wanita.

Pencalonan berkenaan disokong sebulat suara oleh ahli parlimen kerajaan dan pembangkang, selepas dicadangkan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengikut Aturan Mesyuarat dan Usul-usul Dewan Rakyat hari ini.

Ia dibuat berdasarkan amalan sebelum ini, dengan pengerusi PAC dilantik dalam kalangan ahli parlimen pembangkang.

Mas Ermieyati yang juga adalah bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang).

Dia menggantikan ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh daripada PH yang memegang jawatan itu dalam pentadbiran sebelum ini.

Bagaimanapun, ahli jawatankuasa PAC belum dilantik.

PAC adalah satu daripada lima jawatankuasa yang ditetapkan dalam Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan mempunyai kuasa untuk memanggil mana-mana individu, dokumen atau rekod untuk memudahkan siasatan mereka.

Ia bertujuan untuk memeriksa dan memantau urusan kewangan negara dan supaya pentadbiran kewangan negara ditadbir dengan baik.

Lihat Komen
ADS