Isu Laut China Selatan: Inilah masalah pembangkang, kata Anwar
Muhyiddin Yassin perlu memberi perhatian yang lebih selain menghadirkan diri ke Dewan Rakyat untuk memahami isu Laut China Selatan yang kini menjadi pertikaian dengan China, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Bercakap kepada pemberita di Shah Alam hari ini, Anwar berkata Malaysia akan meneruskan projek cari gali di kawasan Laut China Selatan itu.
"Ini adalah masalah pembangkang yang dia tidak dapat nak tumpukan, tak hadir parlimen, tak dengar pandangan dan tak baca ulasan kerana kita konsisten sebut projek cari gali ini diteruskan.
“Ia adalah kawasan kita,” katanya selepas hadir pada majlis pelancaran program Kita Untuk Kita di PPR Kampung Baru Hicom di Shah Alam.
Semalam, Muhyiddin membidas Anwar kerana dianggapnya “cuai” memberi kenyataan berhubung isu pertikaian Laut China Selatan dengan mendakwa komennya secara tidak langsung boleh mengesahkan tuntutan China ke atas kawasan yang secara sah adalah wilayah Malaysia.
Pengerusi PN itu turut menyentuh kenyataan Anwar mengenai kehadiran kapal tentera laut China di perairan yang dituntut tujuh negara termasuk Malaysia.

Ia susulan kenyataan perdana menteri itu yang memberitahu Putrajaya terbuka kepada rundingan selepas Beijing membangkitkan projek operasi cari gali Petronas di kawasan laut tersebut.
Anwar hari ini menegaskan Malaysia tidak akan berkompromi dengan Beijing berhubung penerokaan minyak dan gas oleh Petronas di Laut China Selatan.
"Muhyiddin ini dia banyak masalah sekarang, dia tak baca apa kenyataan saya... tiada langsung saya sebut saya nak tolak ansur dan ini yang saya sampaikan kepada pemimpin-pemimpin China yang tidak dilakukan beliau (Muhyiddin).
"China menyatakan ada bertindih (tuntutan) jadi kalau begitu kita berbincang tetapi tidak menghalang untuk kita teruskan projek.
"Projek tetap berjalan jadi apa yang tidak kita kompromi kerana projek cari gali Petronas akan tetap berjalan di kawasan yang kita percaya milik negara," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/04/3a5e7cde5bebd94a41a6d445d0b76b03.jpg)
