Lawyers for Liberty (LFL) mengecam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana merampas MyKad seorang pesakit kanser berusia 65 tahun dari Sarawak, dan menyifatkan tindakan itu sebagai mencabuli perlembagaan.

Pengarah LFL, Zaid Malek berkata, tidak kira jika siasatan dibuat ke atas kes itu, atau tidak, namun JPN tidak mempunyai kuasa untuk merampas MyKad seseorang.

“Rampasan MyKad individu itu tidak diragukan lagi merupakan tindakan yang menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan oleh JPN, yang tidak ada justifikasi.

“Ia adalah penyalahgunaan kuasa yang serius kerana ia merupakan satu tindakan yang melucutkan kewarganegaraan mangsa dan hak mereka yang terikat dengannya,” kata Zaid dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 9 April lalu, Malaysiakini melaporkan MyKad seorang wanita warga emas bernama Lina Samuel dari Lawas, Sarawak telah dirampas oleh JPN.

Jelas Lina, kejadian itu berlaku selepas dia melawat pejabat JPN daerah untuk menukar alamat pada kad pengenalannya, supaya dia boleh mengundi pada pilihan raya umum ke-15.

Dia menghidap kanser kolon dan tanpa MyKad, dia tidak boleh dapat menerima rawatan untuk penyakitnya itu.

Susulan itu, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution berkata, JPN melalui siasatannya mendapati wanita itu adalah warga Indonesia.

Walaupun begitu, JPN memberitahu Malaysiakini bahawa siasatan masih berjalan dan mereka masih belum berjumpa dengan Lina.

LFL menegaskan bahawa tindakan yang telah diambil oleh JPN tidak mematuhi Perkara 26B dan 27 Perlembagaan Persekutuan.

[Baca berita penuh]