Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Faiz pelawa Pemuda PAS Kelantan lawat P Pinang
Diterbitkan:  Apr 28, 2023 12:10 PM
Dikemaskini: 4:23 AM

Pemuda PAS Kelantan dipelawa datang melawat Pulau Pinang selepas mereka mendakwa negeri ditadbir PH itu turut mengalami masalah kebersihan dan pembangunan.

Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil, berkata dia mengalu-alukan kedatangan Pemuda PAS Kelantan untuk membolehkan mereka melihat sendiri bahawa wujud perbezaan ketara di antara kedua-dua negeri.

Kata Faiz dia mencadangkan Pemuda PAS Kelantan mengadakan sesi lawatan sambil belajar untuk mengetahui bahawa George Town diiktiraf sebagai bandar pelancongan bersih Asean pada 2022.

"Insya-Allah, ilmu pengurusan kebersihan daripada pihak berkuasa tempatan George Town boleh membantu Kelantan bergerak ke arah pembangunan yang lebih bersih dan madani," katanya dalam kenyataan hari ini.

Faiz yang juga anggota Jawatankuasa Amanah Nasional menambah melalui pentadbiran PH, Pulau Pinang menjadi antara negeri terawal yang melaksanakan inisiatif dasar pengasingan sisa di punca iaitu sejak 2016.

Pada 2021 pula tambahnya Pulau Pinang telah berjaya mencapai kadar kitar semula yang tertinggi di Malaysia iaitu 51.18 peratus. Menjelang 2030, katanya, kadar itu dijangka naik ke 70 peratus.

"Data saintifik yang diperakui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pula menunjukkan air terawat di Pulau Pinang adalah antara yang terbersih dan paling selamat.

"Bukan itu sahaja, kerajaan negeri sedang melaksanakan Pelan Kontingensi Air Mentah apabila kapasiti air mentah dijangka meningkat sebanyak 569 juta liter sehari menjelang 2030.

"Pulau Pinang sedang menuju ke arah bekalan air mentah yang lebih mapan," katanya.

Hidup dengan baik

Pada 26 April lalu Pemuda PAS Kelantan menganggap negeri itu tidak banyak berbeza daripada Pulau Pinang kerana kedua-duanya mengalami masalah kekotoran.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan Mohd Firdaus Nawi berkata begitu sebagai menjawab sindiran Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Mohammad Agus Yusoff yang dianggapnya tidak cermat semasa mengkritik masalah kemudahan asas di Kelantan.

Mohd Firdaus turut mengiringi kenyataannya dengan beberapa laporan akhbar berkait isu pencemaran sungai dan pembuangan sampah haram di Pulau Pinang.

“Sekali lagi Pulau Pinang tidak salah tetapi yang tidak betulnya adalah Agus, pengarah J-Kom yang jawatannya bukan sahaja dipertikai lawan tapi dalaman komponen kerajaan juga,” katanya.

Faiz berkata fakta yang tidak dapat dinafikan ialah Kelantan sememangnya berdepan masalah kekotoran dan sampah akibat kelemahan tatakelola kerajaan negeri.

Kegagalan itu, tambah Faiz, turut menyebabkan Kelantan menjadi antara negeri termundur di Malaysia.

Pada masa sama katanya ekonomi Pulau Pinang berkembang pesat dengan rekod pertumbuhan tertinggi dalam negara pada 2021 iaitu 7.1 peratus.

Sumbangan Pulau Pinang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pula meningkat kepada 7.1 peratus.

Pada 2021 juga, kata Faiz Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia melaporkan Pulau Pinang mencatatkan pelaburan sektor pembuatan sebanyak RM76.22 bilion dan dijangka menghasilkan 12,000 peluang pekerjaan.

"Walaupun Pulau Pinang sering difitnah dengan sentimen perkauman dan agama, hakikatnya orang Melayu hidup dalam keadaan baik dan Islam juga diamalkan serta berkembang pesat.

"Kelantan mungkin maju dengan slogan Islam, tetapi nilai Islam dalam pentadbiran semakin lupus.

"Bersih dan berkebajikan adalah nilai dan prinsip Islam yang cukup tinggi, tetapi tidak dirasai rakyat di Kelantan," katanya.

Lihat Komen
ADS