Hadi, pemimpin kanan PAS hadir rumah terbuka Kedah
Para pemimpin utama PAS termasuk presiden parti itu, Abdul Hadi Awang, akan hadir memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut pada Sabtu ini.
Program itu diadakan seminggu selepas kerajaan pusat menganjurkan majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Alor Setar dan turut dihadiri pemimpin utama kerajaan termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Pesuruhjaya PAS Kedah Ahmad Yahaya berkata majlis itu juga terbuka kepada semua orang dan pihaknya mengalu-alukan kehadiran sesiapa saja untuk berada di negeri Jelapang Padi itu.
“Datanglah beramai-ramai tak kira ahli PAS, penyokong, pendukung mahupun tidak berparti termasuk rakan-rakan Perikatan Nasional (PN) untuk memeriahkan majlis ini,” katanya.
Menurut laporan Harakahdaily, jamuan akan bermula kira-kira jam 12 tengah hari.
Sabtu lalu, sekurang-kurangnya 10,000 orang menghadiri Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Anwar. Ia turut dihadiri Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah serta menteri besar negeri itu, Muhammad Sanusi Md Nor.
Malam sebelumnya, PH Kedah menganjurkan rumah terbuka berasingan yang turut dihadiri Anwar dan menampilkan penyanyi popular Siti Nurhaliza dan Amy Search.
Anwar dijadual menghadiri lima lagi rumah terbuka anjuran kerajaan pusat termasuk di Terengganu dan Kelantan yang kini diperintah PAS.
Sabtu ini, dia akan menghadiri Rumah Terbuka Malaysia Madani di Pulau Pinang disusuli dengan Negeri Sembilan dan diakhiri dengan Selangor, pada 14 Mei.
Seteru politik Anwar mendakwa penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama perdana menteri itu diadakan untuk kempen enam pilihan raya negeri akan datang.
Bagaimanapun Pejabat Perdana Menteri menegaskan ia diadakan bagi mengeratkan hubungan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/02/307a5261dc69e31f8449c77623c5a6bc.jpg)
