Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menafikan dakwaan yang menyatakan dirinya mengakui bahawa kebanyakan tapak perlombongan haram di negara ini berada di Kedah.

Ini susulan pendedahan Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof semalam, bahawa sebanyak 60 tapak perlombongan haram dikesan di seluruh negara, dengan majoriti daripadanya dilaporkan berada di Kedah.

Mesyuarat Majlis Mineral Negara

Perkara itu, kata Fadillah, disebut oleh Sanusi semasa dalam Mesyuarat Majlis Mineral Negara (MMN), pagi semalam yang dipengerusikannya.

“Ini bukan kategori mendedahkan rahsia sulit negara, ini satu kewajipan membetulkan salah maklumat yang ditularkan oleh pengerusi mesyuarat dalam sidang akhbar beliau.

“60 lombong haram yang saya sebutkan itu adalah daripada sumber agensi tertentu yang sampai kepada saya, tapi bukan hanya tertumpu di Kedah tetapi di seluruh negara.

“Hal ini diakui benar oleh KSU Kementerian Sumber Asli dan Perubahan Iklim dalam mesyuarat tersebut,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Merujuk kepada lombong haram ‘terkenal’ di Kedah yang sebelum ini mendapat perhatian media, Sanusi mengesahkan tindakan undang-undang telah diambil terhadap mereka yang terlibat.

“Lombong haram di Kedah yang 'femes' tu sudah dicekup dan didakwa. Maknanya yang masih beroperasi itu ada di tempat lain, bukan 'berlambak' di Kedah.

“Kalau ada betul lombong haram di Kedah, sekelian 'pakar geologi dan pakar lombong PH/BN' sudah raya sakan sebelum puasa lagi,” katanya.

Mesyuarat Majlis Mineral Negara

Pada 13 April lalu, sekumpulan 40 orang termasuk lima rakyat Malaysia didakwa di Mahkamah Sesyen di Alor Setar atas pertuduhan menceroboh Hutan Simpan Bukit Enggang di daerah Sik pada Januari lalu.

Dilaporkan bahawa Jabatan Perhutanan negeri telah menahan 52 orang kerana disyaki terlibat dalam perlombongan haram sumber galian unsur nadir bumi bukan radioaktif di Hutan Simpan Bukit Enggang itu.