Umno menyatakan rasa syukur parti itu dengan pendirian kerajaan berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata penegasan daripada kerajaan itu diberikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam pertemuan mereka di Putrajaya hari ini.

Kata Ahmad Zahid Hamidi, dia sendiri bersama setiausaha agung parti itu, Asyraf Wajdi Dusuki, menemui Anwar sebelum berlangsungnya mesyuarat kabinet pagi tadi.

Timbalan perdana menteri itu menjelaskan dia dan Asyraf Wajdi menemui Anwar bagi menyatakan pandangan serta pendirian anggota akar umbi Umno.

"Alhamdulillah, perdana menteri menyatakan komitmen untuk terus mempertahankan ketetapan dasar kerajaan berkenaan isu penggunaan kalimah Allah sebagaimana yang telah diputuskan Mahkamah Persekutaan pada 2014," katanya.

Pertemuan tersebut dimaklumkan Ahmad Zahid melali satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Terdahulu hari ini, Anwar memaklumkan dalam isu penggunaan kalimah Allah dalam kalangan orang bukan Islam, kerajaan akan mengekalkan dasar sedia ada.

Perdana menteri juga berkata untuk menyelesaikan isu tersebut secara menyeluruh kabinet mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja.

Katanya kerajaan akan senantiasa mempertahan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 3 berhubung Islam adalah agama Persekutuan, dan pada masa sama agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

Ahmad Zahid berkata Umno memang menyambut baik keputusan kerajaan mempertahankan dasar sedia ada serta memperkemaskan penguatkuasaan terhadap dasar penggunaan kalimah Allah.

"Pada masa yang sama, kerajaan akan memperkemaskan isu-isu penguatkuasaan terhadap dasar penggunaan kalimah Allah dan memutuskan untuk mempersembahkan cadangan-cadangan kepada Majlis Raja-raja.

"Ini bagi memastikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana peruntukan perlembagaan akan terus terpelihara di samping mengekalkan perpaduan dan keharmonian di antara kaum dan agama di Malaysia," katanya lagi.