Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan dana judi: Jawapan Azalina bukti Anwar fitnah, kata Hamzah
Diterbitkan:  May 26, 2023 7:24 PM
Dikemaskini: 11:25 AM

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah memfitnah PN, susulan kenyataan Azalina Othman Said bahawa SPRM tidak dapat mengesahkan dakwaan PN menggunakan hasil daripada syarikat perjudian dalam kempen PRU lalu.

Hamzah berkata jawapan Parlimen Zalinan - yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi - semalam menunjukkan dakwaan Anwar berkenaan perkara itu "rekaan serta pembohongan semata-mata".

"Kezaliman Anwar ini perlu dihukum secara total oleh rakyat terutamanya dalam pilihan raya di enam buah negeri yang bakal berlangsung tidak berapa lama lagi.

"PN sebagaimana telah dijelaskan Muhyiddin Yassin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, sedang menimbangkan tindakan undang-undang ke atas Anwar," katanya dalam kenyataan.

Susulan jawapan Parlimen itu, Azalina menjelaskan dia tidak menyatakan siasatan isu pendanaan pilihan raya daripada syarikat perjudian sudah ditamatkan atau digugurkan.

"Dalam hal ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan yang bebas dan berkecuali tentu sekali akan dan berhak menjalankan siasatan berkaitan dan membuka fail siasatan sebagaimana perlu mengikut Akta SPRM atau mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa berdasarkan kepada maklumat dan bukti yang diperolehi dari semasa ke semasa," katanya.

Hamzah dalam kenyataannya turut membangkitkan pendakwaan ke atas beberapa pemimpin Bersatu sebelum ini, terutama Muhyiddin, yang didakwanya sebagai kesinambungan kepada "pembohongan, fitnah serta konspirasi jahat" kerajaan terhadap mereka.

"Hal sama berlaku kepada saya beberapa minggu lalu. Kes terhadap seorang ahli perniagaan Cina diolah dengan niat jahat bagi memperlihatkan seolah-olah saya juga terbabit.

"Semua itu fitnah dan pegawai saya telah pun membuat laporan polis terhadap pihak-pihak yang menekan dan mencampuri urusan SPRM," dakwanya lagi.

Laporan polis itu dibuat pada 12 Mei lalu dibuat selepas Hamzah dikaitkan dengan kes itu dan agar polis menyiasat mana-mana pihak yang didapati campur tangan dalam SPRM untuk mencemarkan nama baiknya.

Lihat Komen
ADS