Kerajaan tak ada pilihan, projek LCS mesti diselesaikan
Kerajaan, kata Anwar Ibrahim, tidak mempunyai sebarang pilihan kecuali mengambil alih projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) yang asalnya di bawah tanggungjawab syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).
Perdana Menteri menjelaskan kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM6 bilion untuk projek tersebut dan perlu memastikan ia dapat disiapkan sepenuhnya.
“Dia (BNS) ada dia punya projek yang ongoing (sedang berjalan), yang mesti diselesaikan termasuk LCS.
“Kita (kerajaan) tiada pilihan. Kita dah belanja RM6 bilion, dia tak boleh tutup. (Justeru) Kita kena ambil alih, kena selesaikan,” katanya selepas pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di WTC hari ini.

Bagaimanapun menurut Anwar kenyataan lebih lengkap akan dikeluarkan berhubung perkara berkenaan selepas ini.
Semalam, Menteri Pertahanan Mohamad Hasan berkata Kementerian Kewangan (MOF) telah menubuhkan syarikat bertujuan khas (SPV) bagi mengambil alih syarikat yang bertanggungjawab terhadap projek pembinaan (LCS) iaitu BNS untuk menjadi anak syarikat kepada MOF.
Bagaimanapun, dia berkata pelaksanaan projek LCS tetap akan dipantau melalui Jawatankuasa Pemantauan Projek (PMC) yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (Mindef).
Menurut pemfailan syarikat induk Boustead Holding kepada Bursa Malaysia, kontrak tambahan keenam yang ditandatangani hari ini memerlukan anak syarikatnya BNS untuk menghantar lima LCS dan bukannya enam kapal.
Bagaimanapun, jumlah harga kontrak telah disemak kepada RM11.2 bilion, meningkat daripada RM9 bilion sebelum ini. Kerajaan telah pun mengeluarkan RM6 bilion.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/05/d1a3b00f0b03f54c53153ccbe35d5923.jpg)
