Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak ada kerja nak berdebat dengan Ahmad Said - MB T'ganu
Diterbitkan:  Jun 7, 2023 9:55 AM
Dikemaskini: 1:55 AM

Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dia lebih berminat memberikan tumpuan kepada isu rakyat berbanding melayan tindak-tanduk pembangkang di negeri itu.

Kata Ahmad Samsuri dia juga menyedari permainan politik Adun Kijal, Ahmad Said, yang didakwanya kini memainkan pelbagai isu termasuk penjualan tanah yang membabitkan Persatuan Isteri Wakil Rakyat Dan Isteri Bekas Wakil Rakyat PAS Terengganu (Khairunissa’).

Dipetik harakahdaily Ahmad Samsuri berkata dia lebih terbuka untuk memberikan kenyataan berkaitan isu tersebut - serta isu lain - kepada pihak berkuasa.

Bekas setiausaha politik Abdul Hadi Awang itu juga menjelaskan, dia tidak berminat berdebat dengan Ahmad kerana sebelum ini bekas menteri besar Terengganu juga pernah menolak cabaran sama daripada PAS.

“Tak ada kerja saya nak berdebat dengan dia... buat apa saya nak ikut game plan dia?

"Satu masa dulu pada 2012 atau 2014 dia pernah dicabar berdebat oleh pembangkang (PAS) ketika itu, tetapi dia cakap tak bersedia berdebat. Sekarang dia pula ajak berdebat," katanya Wisma Darul Iman semalam.

Pada 4 Jun lalu Ahmad dilaporkan media sebagai mencabar Ahmad Samsuri untuk berdebat mengenai sebidang tanah di Kuala Terengganu yang didakwa dijual di bawah harga pasaran.

Kata Ahmad dia mahu tahu sama ada tanah berkenaan - didakwa bernilai RM29 juta - dijual kepada persatuan terbabit dengan harga RM550,000.

"(Jika benar) Itu pengkhianatan bagi saya dan rakyat Terengganu, dan saya cabar menteri Besar (Ahmad Samsuri) berdebat dengan saya.

"Saya pernah bekerja sebagai penolong pegawai daerah bahagian tanah, saya tandatangan beribu-ribu keping geran tanah, saya tahu undang-undang dan peraturan tanah," katanya.

Tak mahu panjangkan isu

Malaysiakini pada 3 Jun lalu melaporkan, Ahmad Samsuri menganggap penjualan tanah kerajaan negeri kepada Khairunnisa' sebagai bukan suatu isu.

Hal itu kerana, katanya, segala prosedur yang ditetapkan dipatuhi semasa proses jual beli itu dilakukan.

Mendakwa isu berkenaan sengaja ditimbulkan dan disensasikan pihak tertentu kerana pilihan raya negeri (PRN) semakin mendekat Ahmad Samsuri berkata, dia tidak faham mengapa ia dijasikan isu oleh pihak yang berkenaan.

"Tapi biasalah zaman pilihan raya macam-macam benda akan keluar. Cacing dalam perut bumi pun akan keluar," katanya semasa menjawab soalan wartawan pada sidang media di Kuala Lumpur.

Menjelaskan isu tersebut semalam, Ahmad Samsuri berkata sesiapa yang ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan penjualan tanah berkenaan boleh merujuk kepada laporan media sebelum ini.

Ahmad Said

“Tentang isu tanah itu saya sudah memberi jawapan kepada wartawan beberapa hari lepas di Kuala Lumpur.

"Boleh ambil balik (rujuk) jawapan itu dan saya (sangat bersedia memberi keterangan) kepada mana-mana pihak berautoriti,” katanya.

Ahmad Samsuri juga mendakwa ada Umno cawangan dan bahagian yang disyaki terlibat dalam pemilikan tanah di Terengganu berdasarkan dokumen yang tular.

“Namun saya tidak mahu memanjangkan isu itu.

"Jika dikorek cerita ini ia akan jadi panjang, memang ada parti politik yang ambil dan daftar tanah atas nama parti mereka,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS