Jadi calon atau tidak, Tengku Zafrul hanya akur
Disebut-sebut bakal diturunkan sebagai calon BN dalam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz tidak memberikan sebarang jawapan jelas mengenai percaturannya.
Dia yang dilantik menjadi bendahari Umno Selangor baru-baru ini sebaliknya bertegas bahawa langkah politiknya akan ditentukan oleh pucuk pimpinan parti.
"Jadi calon untuk bertanding ini bergantung kepada pucuk pimpinan. Biar pucuk pimpinan tentukan jika ada sesiapa dicalonkan.
"Saya tak tahu saya akan bertanding atau tidak. Secara peribadi, terpulang apa-apa keputusan oleh pucuk pimpinan BN saya akur," katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini
Tokoh perbankan itu ditemui semasa persidangan sayap-sayap Umno hari ini.
Terdahulu, Tengku Zafrul diminta mengulas mengenai spekulasi dia bakal diturunkan bertanding di kawasan DUN Sungai Kandis, Selangor.
Pada PRU ke-15 lalu, Tengku Zafrul bertanding sebagai calon BN dan diletakkan di kawasan parlimen Kuala Selangor. Bagaimanapun dia gagal mengalahkan penyandang kerusi tersebut, Dzulkefly Ahmad, dari PH.
Selepas itu, dia dilantik sebagai menteri dalam kabinet Anwar Ibrahim.
Tengku Zafrul tidak boleh lagi kekal dengan jawatan menteri apabila tempohnya sebagai anggota Dewan Negara berakhir pada Dis tahun depan.
Selangor adalah satu daripada enam negeri yang perlu mengadakan PRN pada beberapa bulan mendatang kerana tempoh penggal dewan undangan masing-masing akan luput tidak lama lagi.
Lima negeri lain ialah Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan dan Terengganu.
Siang tadi Pulau Pinang sudah memberi bayangan jelas yang pembubaran dewan undangan negeri akan dibuat pada 28 Jun ini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/06/1c234ff6efc1496f7f77b12f9d18957a.jpg)
