Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysiakini, Kini News Lab raih anugerah kewartawanan sekali lagi

Malaysiakini dan cabang projek interaktifnya, Kini News Lab memenangi empat anugerah untuk Hadiah Kewartawanan Malaysia-MPI (Institut Akhbar Malaysia) Petronas tahun ini untuk pelaporannya pada 2022.

Portal berita itu dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori ‘Kewartawanan Multimedia Terbaik’ yang baru diwujudkan dengan hadiah RM10,000, trofi dan sijil.

Ini adalah untuk tiga laporan interaktif Kini News Lab, dua daripadanya berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15, iaitu Memahami PIlihan Raya Umum 2022 dan Memahami Kuasa Pengundi Muda.

Laporan ketiga bertajuk Pengeluaran Awal KWSP: Cukupkah Simpanan Hari Tua Nanti? — laporan khas mengenai simpanan persaraan yang membantu pengguna menggunakan kalkulator interaktif untuk mengira jumlah simpanan yang mungkin mereka ada pada usia tua.

Ini kali ketiga Kini News Lab meraih hadiah utama bagi kategori ini dalam tempoh empat tahun sejak ia mula diperkenalkan pada 2019.

Pengarang berita Malaysiakini Martin Vengadesan memenangi kategori 'Kolumnis/Penulisan Feature Terbaik' menerusi artikelnya Irdina's brilliance shatters 'Malays need protector' spiel; Marhaen, kayangan and the infuriating minimum wage debate; dan When your friends don't know they're racists.

Wartawan Malaysiakini meja bahasa Cina Low Choon Chyuan pula memenangi tempat ketiga bagi kategori 'Kecemerlangan dalam Pelaporan Penyiasatan', manakala jurugambar Azneal Ishak memenangi tempat ketiga bagi kategori Kecemerlangan dalam Esei Foto.

Low memenangi anugerah itu menerusi tiga artikelnya: 27 quarries to open up in Bukit Lagong Forest, Selangor GLCs involved; Bukit Lagong: More quarries with royal, political links unearthed; dan Loophole for developers: Cutting forest reserve projects into small pieces.

Bagi kategori esei foto, Azneal menghantar karyanya daripada tragedi tanah runtuh Batang Kali bertajuk Tragedi Batang Kali - 9 hari misi mencari dan menyelamat.

Sementara itu, Yusmizal Dolah Aling dari Harian Metro merangkul Anugerah Kajai menerusi artikelnya Terima Kasih Laoshi, Hadiah Raya Paling Bermakna; Rohana Abdullah kini warga Malaysia; dan Sanjung Budi Laoshi.

Anugerah itu disertai hadiah RM30,000, trofi dan sijil.

James Alexander Ritchie, bekas pengarah eksekutif New Sarawak Tribune, dinamakan sebagai penerima Anugerah Khas tahun ini, manakala pengarah urusan Borneo Post Henry Lau Lee Kong dinamakan sebagai Tokoh Media Negara tahun ini.

Lihat Komen
ADS